'BAGUS Untuk MotoGP'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/10/20251 min read


PELUMBA baharu Ducati Lenovo, Marc Marquez melabal majlis pelancaran MotoGP 2025 di Bangkok, Thailand, semalam sebagai sesuatu yang bagus untuk sukan permotoran elit dua roda berkenaan.
Sekalipun bukan majlis pengenalan 'liveri' baharu, begitupun buat pertama kalinya, kesemua 11 pasukan dikumpulkan di satu lokasi menjadikan ia sesuatu yang istimewa.
"Acara yang baharu, saya fikir ia bagus untuk sukan kita ini," kata Marquez kepada MotoGP.com.
"Pada akhirnya, kesemua pelumba berada di sini, kami adalah 'muka' kepada sukan ini jadi ia adalah suatu yang harus dibuat.
"MotoGP juga menganjurkannya dengan cara yang amat baik. Sasarannya seperti biasa adalah untuk berjumpa ramai orang, kerana dengan cara ini sukar kami boleh meningkat."
Juara dunia MotoGP 2021, Fabio Quartararo menyuarakan pandangan hampir sama dengan Marquez.
"Kami adalah wajah kepada sukan ini. Kami juga perlu berada di sana dan juga untuk peminat dan ini adalah kali pertama MotoGP melakukannya.
"Harapnya akan lebih ada banyak acara, pelancaran pasukan yang boleh berlangsung di banyak lokasi," kata pelumba pasukan Monster Yamaha itu.
Pelumba Honda HRC Castrol, Joan Mir melabel acara itu sebagai 'amat penting'.
"Perkara yang berbeza seperti ini membantu MotoGP menjadi lebih baik dan besar dan ia membuatkan kami lebih baik dan berpengaruh," kata juara dunia MotoGP 2020 itu.
"Ia adalah sesuatu yang bagus untuk dibuat. Kami menikmati acara ini. Saya gembira dengan pelancaran ini di Bangkok, bagi saya ia adalah acara yang amat penting."
Selain majlis pelancaran, barisan pelumba tiba di Thailand untuk mengharungi ujian terakhir pra-musim MotoGP yang dijadual berlangsung di Buriram, Thailand pada 12 dan 13 Februari ini.
