BAGUS Untuk MotoGP - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/15/20251 min read


PELUMBA bintang Ducati Lenovo, Marc Marquez menyifatkan kebangkitan yang dilakukan pengeluar lain sebagai bagus untuk MotoGP.
Selepas Jerez, pelumba bintang Yamaha, Fabio Quartararo sekali lagi mencipta kejutan apabila meraih petak utama kedua berturut-turut.
Dan sekali pun tidak memenangi perlumbaan, pelumba bintang Perancis itu berjaya memberikan saingan kepada Ducati termasuk memimpin perlumbaan sehingga pusingan ke-6 sebelum dipintas Marquez diikuti duo Gresini Ducati, Alex dan Fermin Aldeguer dan melepasi garisan penamat di tempat ke-4.
"Ia berita yang bagus untuk kejuaraan," kata Marquez mengulas kebangkitan Quartararo di Le Mans pada Sabtu sebelum kemenangan Johann Zarco pada perlumbaan utama.
"Pertama sekali, saya gembira Ducati mengekalkan dominasi. Tetapi untuk kejuaraan, lebih bagus jika ada pengeluar lain (di podium) dan nama-nama besar seperti Quartararo, yang juga juara dunia, bintang ternama.
"Ini membuatkan sukan ini lebih besar. Jadi saya gembira yang dia membuat kebangkitan pada perlumbaan ini. Kemudian mungkin akan ada perlumbaan di mana dia akan lebih bergelut.
"Tetapi di Jerez dan di sini (Le Mans) dia amat laju."
Marquez dalam pada itu mengakui dia perlu mencari 'keseimbangan' selepas mendapat julukan 'Mr Saturday' hasil kemenangan ke-6 berturut-turut Perlumbaan Sprint musim ini.
Sekalipun mendominasi aksi Sprint, keputusan yang diperoleh Marquez pada perlumbaan utama atau Grand Prix tidak seperti diharapkan apabila dia terlepas tiga perlumbaan di COTA, Jerez dan Le Mans.
"Ketika ini saya adalah Mr Saturday," kata Marquez. "Tetapi saya lebih sukar jika menjadi Mr Sunday dan terlepas beberapa (kemenangan) pada Sabtu. Benar saya banyak berusaha bagi persiapan untuk Sabtu ketika pra-musim kerana ia adalah kelemahan saya pada musim lalu, kelayakan dan Sprint.
"Tetapi tahun ini ia nampak sebaliknya, jadi kami perlu mencari keseimbangan. Tetapi pada Ahad, saya sentiasa merasa baik. Saya merasa laju. Apa yang berlaku adalah saya melakukan dua kesilapan (COTA dan Jerez)," katanya.
Selepas dua pencabar utamanya Alex dan Francesco Bagnaia jatuh ketika perlumbaan GP di Perancis, Marc yang menamatkan perlumbaan sebagai naib juara kini memiliki kelebihan 22 mata di puncak carta kejuaraan MotoGP.
