BAHANG MBS 2026 Kian Terasa, MForce Sedia 'Gegar' Dengan MotoXperience!

Malaysia Bike Show 2026 dan MForce MotoXperience akan berlangsung di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bermula 29 Mei sehingga 1 Jun 2026 ini

TERKINI

5/12/20261 min read

KEHANGATAN Malaysia Bike Show (MBS) 2026 yang dijadual berlangsung hujung bulan ini makin terasa dengan pengedar motosikal terkemuka tempatan, MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce Bike) sedang 'memanaskan enjin' bagi menghadapi pameran berkenaan.

Tampil dengan tema tersendiri 'Mforce MotoXperience', syarikat itu merangka pelbagai aktiviti kepada pengunjungnya antaranya pelancaran lebih 10 model motosikal pelbagai segmen secara besar-besaran.

Dengan 'tagline' 'Ini bukan sekadar pelancaran, ini gelora baharu dunia permotoran', MForce akan membawa kesemua model di bawah pengurusannya dam menjanjikan himpunan jentera yang merangkumi pelbagai pilihan gaya hidup bermula daripada model tunggangan bandar, pengembaraan, lasak, berkuasa tinggi sehinggalah kepada mobiliti berteknologi masa depan.

Menurut MForce Bike, 'Mforce MotoXperience' akan menghimpunkan kesemua jenama di bawah MForce Bike dalam satu bumbung sekali gus menjadikan tapak pameran mereka sebagai antara tarikan utama acara di MBS 2026.

Lebih menarik, pengunjung bukan sahaja dapat mencuci mata melihat deretan model-model baharu atau yang bakal tiba, malah penunggang dan peminat motosikal berpeluang merasai sendiri pengalaman menyeluruh menerusi pelbagai pengisian yang menanti mereka.

Sepanjang acara berlangsung, MForce MotoXperience turut padat dengan pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga, penganjuran sesi cabutan bertuah berbaloi, jualan barangan cenderamata eksklusif serta pelbagai kejutan misteri lain.

Jadi bagi peminat tegar dunia dua roda, acara ini disifatkan sebagai destinasi yang wajib dimasukkan ke dalam kalendar tahunan bagi membolehkan anda menjadi antara individu terawal di negara ini menyaksikan pelancaran model motosikal paling dinantikan bagi tahun 2026.

Acara MBS 2026 dan MForce MotoXperience akan bertempat di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bermula 29 Mei sehingga 1 Jun 2026 ini.