BAJAJ Pulsar NS400Z (2024) Debut Di India, 'Ride by Wire', RM 10.5k!

TERKINI

5/6/20242 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal gergasi India, Bajaj Auto melancarkan model terbaharunya, Bajaj Pulsar NS400Z (2024) yang tampil dengan perwatakan lebih 'garang' dan menariknya - canggih, baru-baru ini.

Sebagai syarikat pengeluar 'nasional' India, harga jualan yang diperkenalkan Bajaj untuk Bajaj Pulsar NS400Z (2024) di pasaran negara itu memang cukup mengujakan iaitu bermula 185,000 INR (RM 10,506).

Tetapi jangan terpedaya dengan harganya, Bajaj Pulsar NS400Z (2024) datang dengan pelbagai ciri-ciri menarik dan boleh dikatakan model paling berteknologi daripada pengeluar itu setakat ini.

Untuk menjadi lebih kompetitif, Bajaj Pulsar NS400Z (2024) dipadankan dengan sistem 'Ride by Wire' dan memiliki 4 mod tunggangan - Road, Sport, Rain dan Off-Road.

Turut memiliki ciri Kawalan Traksi, ciri-ciri menarik lain termasuklah sistem lampu LED penuh termasuk lampu utama projektor dan lampu siang (DRL).

Turut mengujakan adalah pembaharuan di bahagian panel meter yang kini digital sepenuhnya yang turut memiliki ciri sambungan ke telefon pintar dan memiliki sistem navigasi ‘turn-by-turn'.

Dan jangan bimbang kerana seperti model-model terbaharu Bajaj, panel meter itu kini turut dilengkapi dengan petunjuk gear selain petunjuk jumlah bahan api.

Di bahagian sistem henti, ia dipadankan dengan cakera tunggal bersaiz 320 mm (depan) dengan kaliper ByBre 4 Piston dan cakera tunggal 230 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (abs) dua saluran.

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbaik (USD) dengan kemasan emas dan penghentak tunggal (belakang) dengan padanan set roda bersaiz 110/70-17 (depan) dan 140/70-17 (belakang).

Mengulas sudut rekaan pula, Bajaj Pulsar NS400Z (2024) menggunakan 'lenggok' sama dengan 'adiknya' yang juga generasi terbaharu Bajaj Pulsar NS200 yang dilancarkan pada tahun lalu dengan perbezaan ketara di rekaan lampu depan dan tangki bahan api yang lebih 'sasa'.

Dan seperti namanya, Bajaj Pulsar NS400Z (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 373 cc, 1 Silinder, DOHC, bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.

Dan benar, ia adalah trenkuasa yang sama digunakan Dominar D400 dengan kuasa yang dihamburkan adalah 40 Hp pada 8,800 rpm dan tork 35 Nm pada 6500 rpm.

Menurut Bajaj, Bajaj Pulsar NS400Z (2024) ini boleh mencecah kelajuan 154 km/j.

Informasi lain adalah seperti berat 174 kg yang menyaksikan ia 19 kg lebih ringan berbanding Dominar D400, ketinggian pelana 805 mm dan kapasiti tangki bahan api 121 liter.

Di Malaysia, kerjasama antara Modenas dan Bajaj menyaksikan beberapa model jenama itu dijenamakan semula sebagai Modenas dan antara yang berada di pasaran dan popular adalah Modenas Pulsar NS200 (generasi terdahulu) dan Dominar D400.

Tidak diketahui sama ada Modenas merancang untuk membawa masuk Pulsar NS200 atau Pulsar NS400Z terbaharu ke pasaran tempatan namun melihat kepada populariti 'NS', kemungkinannya cukup besar.