BAKAL Ada Pelumba Malaysia Ganti Adam Di WorldSSP MIE Honda Racing WSBK 2024?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/15/20231 min read


UMUM mengetahui Malaysia kekal mempunyai wakil di perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (WSBK) dalam kelas elit WorldSBK menerusi penyertaan Adam Norrodin bagi musim 2024.
Adam yang pada musim ini beraksi dalam kelas pertengahan WorldSSP bersama rakan sepasukannya, Tarran Mackenzie dari Britain 'dinaikkan pangkat' menggantikan Hafizh Syahrin Abdullah dan Eric Granado.
Begitupun, keputusan itu menyaksikan pasukannya, PETRONAS MIE Racing perlu mencari pengganti berkaliber dan perkembangan baik diperoleh, bakal ada pelumba Malaysia di perlumbaan berkenaan.
Ketika ditemui ketika Grand Prix (GP) Malaysia 2023 baru-baru ini, sekalipun tidak diberitahu mengenai siapa penggantinya di WorldSSP, Adam memberitahu bakal ada pelumba dari Malaysia di pasukan berkenaan.
"Sejujurnya saya tidak tahu apa-apa kerana pasukan belum mengumumkan apa-apa," kata Adam ketika ditanya mengenai siapa menggantikan tempatnya dan Mackenzie di WorldSSP.
Begitupun, kata-kata Adam seterusnya memberi petanda yang cukup baik.
"Semestinya saya rasa akan ada pelumba Malaysia. Itu yang pasti," kata Adam sambil turut menjelaskan dia akan menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R terbaharu dari pengeluar itu.
Sekalipun tidak diumumkan, begitupun beberapa nama nampaknya sudah dikaitkan dengan 'posisi' berkenaan antaranya barisan pelumba Boon Siew Honda yang ketika ini beraksi dalam kelas SS600 di ARRC.
Dan nama yang paling kuat dikaitkan adalah bekas pelumba Moto3 dan Moto2 negara, Khairul Idham Pawi yang juga pernah menggantikan Adam dalam perlumbaan WolrdSSP musim ini selain adik Adam, Ibrahim Norrodin.
