'BAKAT Pedro Acosta Menakjubkan'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/11/20241 min read

'ROOKIE' tunggal MotoGP musim ini, Pedro Acosta mendapat pujian menggunung ketika sesi ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 di Sepang dan kelibatnya turut mendapat perhatian Marc Marquez.

Tidak mahu berselindung, juara dunia enam kali MotoGP itu jelas kagum dengan prestasi yang ditampilkan juara dunia Moto2 tahun lalu itu di Sepang.

Dan menariknya, Acosta, 19 tahun bukan saja mencatatkan masa kedua terpantas hari pertama ujian, malah pelumba terpantas KTM untuk ketiga-tiga hari ujian sekalipun beraksi untuk pasukan satelit, Red Bull Tech3 GASGAS.

“Dia (Acosta) akan amat laju pada musim ini. Ketika dia tiba pada ujian pra-musim, dia sudah pun mendahului," kata Marquez.

"Dia mengalami kemalangan tetapi ia adalah cara untuk belajar. Dia bersungguh-sungguh. Ini adalah mentaliti yang baik. Dia mempunyai bakat yang menakjubkan.

"Mungkin akan akan mengambil sedikit masa, atau masa yang kurang. Tetapi lambat laun dia akan bersaing untuk merebut kejuaraan."

Pandangan sama turut dikongsikan pelumba paling senior di grid MotoGP musim ini, Aleix Espargaro dari Aprilia Racing.

"Bakat Pedro menakjubkan," kata Aleix. "Sejak tiba di kejuaraan ini dia sudah melakjukan perkara yang luar biasa.

"Ini baru kali ketiga dia di Sepang, kedua di MotoGP. Jelas dia memang melakukan ujian dengan bersunguh-sungguh.

"Apabila kamu melihatnya di trek, saya menunggang bersamanya untuk beberapa pusingan, kamu melihat laluan perlumbaan yang diambilnya bukanlah laluan 'Rookie'.

"Cukup sukar dipercayai betapa cepatnya dia belajar. Dia perlu diperhatikan pada musim ini," kata Espargaro yang adiknya, Pol Espargaro terpaksa mengundur diri daripada MotoGP bagi memberi laluan kepada Acosta.