BANGGA Bersaing Dengan Jentera 2024 - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/1/20241 min read

MARC Marquez sekali lagi menamatkan Perlumbaan Sprint selaku naib juara, kali ini di Grand Prix (GP) Itali 2024 dan posisi yang diraih di Mugello adalah yang ketiga berturut-turut buat pelumba Gresini Ducati itu.

Secara keseluruhan, podium di Mugello semalam adalah yang keenam berturut-turut buatnya selepas terpaksa menamatkan perlumbaan di belakang penyandang juara dunia, Francesco Bagnaia.

Sekalipun konsisten berada di podium, juara dunia MotoGP enam kali itu itu masih kebuntuan untuk menamatkan badi kemenangannya yang kali terakhir diraih di Misano pada 2021.

Tetapi baginya, keputusan yang diraih setakat ini masih dianggap kejayaan terutama jika berpandukan kepada spefikasi jentera yang digunakannya ketika ini.

"Ya, kedudukan kedua berturut-turut. Tetapi jangan bimbang," kata Marquez. "Apa saya cuba katakan adalah saya harap ia (kemenangan) akan tiba, tetapi jika saya perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dalam semua Perlumbaan Sprint bermula sekarang hingga penamat, saya akan menerimanya.

"Benar yang kami masih kekurangan sesuatu tetapi perkara yang positif adalah kami berada di sana di kedudukan tiga terbaik."

Mengulas lanjut, Marquez mengakui dapat bersaing dengan jentera spesfikasi terkini (2024) turut membuatkannya bangga selain memberi amaran dia kini laju di semua litar.

"Saya amat-amat gembira, terutama kerana Mugello, seperti Barcelona, saya tiba dengan sedikit keraguan," kata Marquez. "Tetapi dengan jentera ini saya perlu untuk melupakan litar-litar yang saya bergelut sebelum ini.

"Dengan jentera ini, saya merasa 'OK' di mana saja.

"Saya bersaing di sana dengan Bagnaia, Martin sekali lagi. Juga, (Enea) Bastianini amat laju, tetapi bersentuhan dengan Martin. Kami bersaing dengan jentera-jentera 2024. Jadi ia adalah sesuatu yang membuatkan saya bangga."

Pelumba terbaik selepas Marquez yang menggunakan jentera spesifikasi 2023 adalah Fabio di Giannantonio (Ducati GP23) yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-7.