BANYAK Kerja, Tapi Ada Potensi - Jorge Martin

Jorge Martin akan membuat kepulangan semula ke perlumbaan kompetitif bersama jentera Aprilia RG-GP di Litar Brno, Republik Czech pada minggu ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/16/20251 min read

Jorge Martin
Jorge Martin

PELUMBA Aprilia Racing, Jorge Martin mengakui teruja untuk kembali mengharungi perlumbaan bersama jentera Aprilia RG-GP mengikuti kepulangan semulanya ke pentas kompetitif di Litar Brno, Republik Czech, minggu ini.

Penyandang juara dunia MotoGP itu tidak berlumba sejak berdepan kecederaan serius ketika Grand Prix Qatar pada April.

Lebih mengecewakan, aksi di Losail juga adalah yang pertama buat pelumba Sepanyol itu pada musim ini selepas terlepas mengalami kecederaan teruk di Sepang ketika ujian pra-musim selain tiga pusingan awal kerana kemalangan ketika latihan seminggu sebelum kempen bermula.

Selepas menjalani sesi latihan bersama jentera MotoGP di Misano, Itali, minggu lalu, Martin akhirnya dibenarkan untuk kembali berlumba di Brno, perlumbaan terakhir sebelum kempen mengharungi rehat musim panas.

"Saya tak sabar untuk kembali ke atas jentera, saya amat gembira yang tempoh ini akhirnya tiba," kata Martin.

"Bersama dengan Aprilia, kami mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi kami mempunyai potensi untuk melakukannya dengan baik.

"Kini tiba masanya untuk membina semula dan menyasarkan penamat yang kuat pada musim ini."

Apa yang menarik, Martin tidak pernah beraksi menggunakan jentera MotoGP di Brno sebelum ini selepas gelanggang itu terkeluar daripada kalendar pada musim 2020.

Keputusan terbaiknya di litar berkenaan adalah pada 2016 yang menyaksikannya menamatkan perlumbaan di tempat kedua bersama pasukan Mahindra.