'BARU Faham Kenapa Ducati Bolot Semua'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/10/20241 min read

MARC Marquez menghabiskan 11 tahun bersama Honda di MotoGP tetapi hari pertamanya dengan pasukan 'kilang' Ducati berjaya mengejutkannya.

Selepas beralih angin daripada Honda ke pasukan satelit Ducati, Gresini Racing musim ini, juara dunia lapan kali itu menyertai Ducati Lenovo dalam kempen MotoGP musim depan.

Tiba di sesi ujian pertamanya bersama sut dan jentera berwarna merah di Barcelona bulan lalu, pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui cara kerja pengeluar dari Itali itu cukup berbeza dan menyukainya.

"Hari pertama dengan pasukan 'kilang' sentiasa mengejutkan, kerana ada begitu ramai orang yang perlu ditemui pada hari pertama kamu bekerja," kata Marquez memetik laporan Motorsports.

"Tetapi apa yang penting adalah saya amat menggemari kaedah ini. Dalam pertandingan ia sepatutnya berlaku seperti ini. Aksi, reaksi, aksi reaksi. Dan itu yang saya lihat di Ducati.

"Saya mula faham mengapa mereka dapat memenangi semuanya. Saya bertarung dengan mereka selama bertahun-tahun dan mereka menghasilkan jentera yang menakjubkan.

"Gigi Dall’Igna adalah bos, tetapi ada banyak individu di belakang yang menjalankan kerja dan sebagai satu pasukan ia menakjubkan," kata Marquez baru-baru ini turut hadir di ibu pejabat Ducati di Borgo Panigale sebagai pelumba pasukan utama.

"Saya berada di Ducati untuk mendapatkan persiapan yang baik bagi 2025, untuk memahami kaedah, untuk memahami apa yang saya akan dapat ketika minggu perlumbaan," katanya.