BAWAH RM 15k Dah Dapat 'Naked Bike' 250 cc, 2 Silinder, Inilah Morbidelli F252!
Pada tanda harga asas diumumkan RM 14,888, Morbidelli F252 kini muncul sebagai motosikal naked 250 cc, 2 Silinder yang boleh dikatakan paling mampu milik di Malaysia ketika ini berbanding pencabar dalam segmen sama khususnya dari negara 'J'
TERKINI
12/28/20251 min read


SYARIKAT pengeluar motosikal asal Itali yang kini milik firma China, Morbidelli meneruskan langkah agresif dalam pasaran motosikal Malaysia apabila memperkenalkan model terbaharu, Morbidelli F252, model naked streetfighter suku liter yang sarat dengan teknologi moden, baru-baru ini.
Pada tanda harga asas diumumkan RM 14,888, Morbidelli F252 kini muncul sebagai motosikal naked 250 cc, 2 Silinder yang boleh dikatakan paling mampu milik di Malaysia ketika ini berbanding pencabar dalam segmen sama khususnya dari negara 'J'.
Dari sudut rekaan, Morbidelli F252 menampilkan gaya streetfighter moden dengan ergonomik yang sesuai untuk tunggangan bandar mahupun lebuhraya.
Begitupun, 'kekuatannya' adalah membabitkan lampu utama yang boleh dikatakan unik mirip serangga dan agresif.
Tampil dengan nama Morbidelli F252, sebagai info angka '2' di belakang bukan membabitkan kuasa, tetapi menunjukkan jumlah silinder.
Trenkuasa, Morbidelli F252 dipadankan dengan enjin 249.5 cc, 2 Silinder Sebaris, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac Assist & Slipper.
Kuasa yang dihamburkan adalah 31.5 Hp @ 11,000 rpm dan tork 21 Nm @ 9,500 rpm
Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) saiz 41 mm dengan jarak gerak 120 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal Pro-Link dengan jarak gerak 122 mm (belakang).
Brek dipadankan dengan cakera tunggal bersaiz 300 mm dengan kaliper 4 Piston (depan) dan cakera tunggal 240 mm dengan kaliper 1 Piston (depan) dan macam biasa, lengkap Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran.
Sebagai model terkini, Morbidelli F252 tampil dengan pelbagai ciri elektronik yang boleh dikatakan menarik antaranya sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan lebih menarik memiliki tiga mod tunggangan (Normal, Sport & Expert).
Dan semuanya boleh diakses menerusi panel meter skrin TFT 5-inci.
Ciri lain:
Port pengecas USB Type-A & Type-C
Lampu LED penuh
Tinggi pelana 790 mm
Tangki petrol 15 liter
Berat 175 kg
Menurut maklumat, MForce Bike selaku pengedar rasmi dan eksklusif Morbidelli di Malaysia menyatakan Morbidelli F252 akan memasuki pasaran tempatan pada tahun depan.

















