BAWAH RM 40k Untuk ZXMoto 820RR, Pelancaran September Ini!
Jenama ZXMoto berjaya mencipta sensasi apabila model berprestasinya, ZXMOTO 820RR merangkul kemenangan di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) pada musim ini dalam kelas WorldSSP
TERKINI
6/21/20261 min read


PERKEMBANGAN mengujakan untuk sesiapa yang menantikan kehadiran model 'Sportbike' sensasi ZXMoto 820RR di Malaysia apabila MForce Bike mendedahkan harga jangkaannya bersama tarikh perasmian model berprestasi berkenaan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) MForce Bike Holdings, Asri Ahmad selaku pengedar eksklusif ZXMoto di Malaysia, pelancaran motosikal ZXMoto 820RR termasuk 2 lagi model ZXMoto 500RR dan 500F akan berlangsung pada 13 September ini.
Menariknya, pengumuman itu dibuat ketika majlis perasmian MForce Smart Shop di Kamunting, Taiping, Perak.
Lebih menarik, Asri turut mengumumkan harga jangkaan untuk ZXMoto 820RR iaitu pada harga bawah RM 40,000 manakala untuk model ZXMoto 500RR dan 500F, seperti diketahui ia diumumkan pada harga bawah RM 30,000.
Kepada yang tak tahu, ZXMOTO 820RR berjaya mencipta sensasi apabila jentera berkenaan berjaya menjulang ZXMOTO kemenangan di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) pada musim ini dalam kelas WorldSSP.
Dan menariknya, kemenangan yang diraih - dan semestinya sukar itu - bukan diraih sekali, namun 6 kali menerusi pelumba, Valentine Debise yang berlumba bersama pasukan ZXMOTO Factory Evan Bros Racing.
Ulas ringkas, ZXMoto 820RR dipacu enjin bersesaran 818.8 cc, 3 Silinder Sebaris, 12 Injap, Penyejuk Cecair, Fi, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual dengan kuasa berada pada pada angka 135 ps dengan tork 80 Nm.







