BELAJAR Dari Kesilapan Di Mandalika, Damok Mahu Tamat 'Kemarau' Pungut Mata Di Australia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/18/20231 min read

BERBAKI lima lagi pusingan kejuaraan musim 2023, pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman menuju ke Grand Prix (GP) Australia minggu ini dengan hasrat menamatkan 'kemarau' pungutan mata.

Dan untuk melakukannya, pelumba dengan gelaran Damok itu berkata dia perlu mempelajari kesilapan yang dilakukannya pada perlumbaan sebelum ini seawal sesi ujian bebas pertama pada Jumaat.

Pada perlumbaan di gelanggang serantau Indonesia minggu lalu, pelumba pasukan MT Helmet-MSi itu menamatkan perlumbaan di antara terburuknya musim ini - ke-25 ketika rakan sepasukannya, Diogo Moreira menjadi juara.

"Saya akan buat yang terbaik di Australia. Bermula dari sesi ujian bebas, saya akan berikan 100 peratus fokus untuk memahami jentera dan litar dengan cepat," kata Damok dalam kenyataan dikeluarkan ZK Racing.

"Walaupun banyak yang saya perlu perbaiki, saya mahu membuat catatan masa yang pantas dan memulakan perlumbaan di kedudukan yang baik.

"Pada masa yang sama, saya belajar dari kesilapan yang lepas dan akan berusaha untuk mendapatkan mata di Australia.

"Terima kasih kerana terus menyokong saya, dan doakan saya dalam perlumbaan minggu ini."

Ketika ini, Damok menghuni tangga ke-25 keseluruhan carta Moto3 ironinya tercorot daripada enam pelumba 'rookie' atau 'muka baru' di kejuaraan itu musim ini selepas hanya mengutip lima mata.

Dan agak mengecewakan, Damok juga disahkan tidak akan diteruskan kontraknya bersama MT Helmets-MSi pada musim depan.

Sebagai info, GP Australia yang dijadual berlangsung di Litar Phillip Island akan membuka tirai dari 20 hingga 22 Oktober ini.