'BELUM Cukup Nak Cabar Ducati'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/9/20241 min read

APRILIA tampak seperti mampu memberikan cabaran sengit kepada Ducati di Grand Prix (GP) Jerman terutama berpandukan prestasi pasukan satelitnya, Trackhouse Aprilia sebelum perlumbaan utama pada Ahad.

Pada Sabtu, kedua-dua pelumba pasukan Trackhouse berjaya menempatkan diri di barisan depan sebelum Miguel Oliveira merangkul podium sulungnya bersama pasukan itu pada Perlumbaan Sprint.

Tetapi pada perlumbaan MotoGP pada Ahad, kejayaan sama tidak mampu diulang yang menyaksikan Oliveira terpaksa menamatkan perlumbaan di tangga kelima dengan empat kedudukan teratas diisi pelumba Ducati.

Dan sekalipun cuba mempertahankan kedudukan podium dan beraksi sebaik mungkin, pelumba kelahiran Portugal itu mengakui situasi berkenaan di luar kemampuannya.

"Sudah tentu ia minggu yang hebat," kata Oliveira. "Kami mampu mencatatkan masa sepusingan yang amat pantas, penamat yang amat kompetitif ketika kelayakan dan Sprint.

"Cabaran sebenarnya adalah pada perlumbaan utama. Kami tidak mampu untuk mencabar Ducati, mereka berada pada kelajuan yang berbeza serta tahap cengkaman yang berbeza.

"Sesuatu yang mengecewakan saya tidak mampu memberi cabaran dengan lebih kuat kerana saya menunggang dengan baik pada minggu ini, agak lancar, menguruskan tayar dengan baik tetapi ia masih tidak mencukupi," katanya.

Sementara itu, situasi lebih mengecewakan dihadapi seorang lagi pelumba pasukan berkenaan, Raul Fernandez yang turut memulakan perlumbaan di barisan depan.

Pada Perlumbaan Sprint, pelumba kelahiran Sepanyol itu melepasi garisan penamat di kedudukan ke-14 dan ke-10 pada perlumbaan utama.

"Sekalipun saya sudah melakukan semaksimum mungkin, saya tiada apa-apa lagi untuk digunakan, terutama pada babak kedua perlumbaan," kata Fernandez.

"Pada 15 pusingan pertama saya berada di kelompok depan bersaing dengan Miguel tetapi untuk baki 15 pusingan lagi, saya bergelut dengan masalah tayar.

"Kami cuba untuk menyimpan sedikit tayar ketika perlumbaan dengan cara yang saya tahu, tetapi ia sukar dan pada akhirnya perlumbaan memang sukar. Saya melakukan yang terbaik dan kami berada di kedudukan 10 terbaik, jadi secara keseluruhan ia agak baik."