'BELUM Sebaik GP Sepanyol 2020'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/25/20251 min read

MARC Marquez mengakui dirinya ketika ini masih belum berada di tahap yang sama ketika dia mengharungi Grand Prix (GP) Sepanyol 2020 bersama Honda disebalik prestasi dominan bersama Ducati pada musim ini.

Setakat ini, juara dunia lapan kali itu memenangi kesemua empat Perlumbaan Sprint dan tiga perlumbaan Grand Prix bersama pasukan 'kilang' Ducati Lenovo dan menghuni tangga teratas carta kedudukan pelumba dengan kelebihan 17 mata.

Bos Ducati Lenovo, David Tardozzi melabel Marquez sekarang sebagai versi 'paling lengkap' pelumba itu.

Tetapi Marquez berpendapat sebaliknya dan percaya dia berlumba dengan lebih baik pada lima tahun lalu khususnya ketika berlumba di laman sendiri yang menyaksikannya turut mengalami kemalangan teruk di bahagian tangan.

"Tidak," kata Marquez ketika ditanya adakah dia merasa dia berlumba dengan lebih baik sekarang berbanding lima tahun lalu.

"Pada 2020, pada GP ini, tahap saya menakjubkan. Saya merasakan pada ketika itu, dengan keadaan fizikal saya dan segala perkara, ia menakjubkan.

"Benar yang sekarang saya merasa berbeza. Ia bukan perasaan lebih baik atau buruk. Ia rasa berbeza, saya rasa saya laju tetapi masih sukar untuk memahami di manakah hadnya.

"Di atas jentera itu (Honda), selepas 10 tahun, saya cukup memahami di manakah hadnya dan apa yang saya perlukan untuk bertambah baik, untuk menyerang. Dengan jentera ini pada tahun itu, saya masih meneroka beberapa aspek yang saya cuba di Qatar, cuba untuk memperbaiki pada selekoh kanan, dan saya akan terus berusaha kerana saya rasa saya boleh membuat peningkatan.

"Dan ya, kita lihat, tetapi sekarang saya berbeza. Lebih baik atau lebih buruk? Berbeza. Saya tidak akan mengatakan sama ada saya lebih baik atau lebih buruk."

Marquez pada tahun lalu meraih podium pertamanya di MotoGP bersama Ducati selepas bersaing sengit dengan Pecco Bagnaia bagi gelaran juara.