BENDA LFC700 PRO (2025) Lancar Di Pasaran Malaysia, Kruiser 4 Silinder Sebaris, RM 48.9k!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/20/20252 min read

BENDA Malaysia, hari ini melancarkan model 'Kruiser' terbaharunya di pasaran tempatan, Benda LFC700 Pro (2025) - model unik yang dilengkapi dengan enjin 676 cc 4 Silinder Sebaris.

Tampil dengan dua pilihan warna (Black dan Gold), harga jualan yang diumumkan untuk kruiser dengan rekaan futuristik serta dilengkapi pelbagai ciri-ciri moden ini adalah RM 48,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Dilancarkan sempena majlis pembukaan pusat pameran dan jualan lengkap terbaharu MForce Best Shop Gee Leong Motor (M) Sdn. Bhd di Melaka, menurut MForce Bike, Benda LFC700 Pro (2025) dikatakan menawarkan apa yang diinginkan peminat kruiser moden termasuk dari segi gaya, inovasi dan prestasi.

Di bahagian trenkuasa, Benda LFC700 Pro (2025) dipadankan dengan enjin bersesaran 676 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Apa yang menarik, ia turut memiliki sistem 'sliding clutch' bersama sistem pacuan akhir rantai.

Selain itu, Benda LFC700 Pro (2025) turut dilengkapi sistem RAM-air intake yang berfungsi menyalurkan udara bertekanan tinggi terus ke ruang pembakaran semasa motosikal bergerak laju.

Ia sekaligus meningkatkan kecekapan pembakaran, menambah kuasa enjin secara semula jadi dan membantu mengekalkan suhu operasi yang lebih stabil.

Kuasa yang dihamburkan berada pada angka 78.9 Hp pada 10,000 rpm dan 62.4 Nm pada 8,000 rpm.

Justeru menurut Benda, angka itu membuatkan Benda LFC700 Pro (2025) yang memiliki radiator bersaiz besar dan pelana ergonimik sebagai antara jentera paling berkuasa dalam kelasnya.

Sistem suspensi dilengkapi dengan fork teleskopik jenis terbalik (USD) dan menariknya menggunakan sistem suspensi udara (rear monoshock air suspension system).

Apa yang menarik, penunggang boleh melaraskan sistem ini mengikut keperluan tunggangan lantas memberikan pengalaman lebih lancar dan stabil di pelbagai permukaan jalan.

Sistem henti Benda LFC700 Pro (2025) mengunakan brek cakera berkembar bersaiz 320 mm dengan kaliper Brembo (depan) dan brek cakera tunggal 260 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Ia turut disertakan dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dihidupkan atau dinyahaktif.

Antara yang menarik juga adalah ia mempunyai lampu kabus boleh lipat secara elektronik.

Informasi penting dan ciri-ciri lain adalah seperti berikut:

  • Sistem lampu LED penuh

  • Panel meter digital TFT bersaiz 5 inci

  • Set roda 130/70-19 (depan), 300/35-18 (belakang)

  • Port pengecas USB

  • Dimensi: 2,430 mm (panjang), 880 mm(lebar), 1,110 mm (tinggi), 1,720 mm (jarak roda), 160 mm (lega bumi)

  • Tinggi pelana 695 mm

  • Berat 287 kg

  • Tangki bahan api 17 liter

Seperti biasa, setiap pembelian berpeluang menikmati jaminan pengeluar berupa perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn Bhd.