BENELLI Tornado 550 (2026) Tiba Di AS, Fork Marzocchi, Brek Brembo!
Rekaan Benelli Tornado 550 (2026) tampil cukup garang dengan garis tajam, permukaan berlapis dan wajah hadapan agresif yang diserlahkan menerusi sepasang lampu siang (DRL) LED yang katanya diinspirasikan daripada taring singa
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/17/20261 min read


PENGELUAR motosikal terkemuka dari Itali namun milik China, Benelli kembali menggegarkan segmen 'Supersport' moden dengan melancarkan jagoan terbaharunya, Benelli Tornado 550 (2026) di pasaran Amerika Syarikat (AS).
Kepada yang tak tahu, Benelli Tornado 550 mula dipertontonkan pada pameran EICMA sebelum memasuki pasaran Eropah awal tahun ini, dan kini ia sah diumumkan sebagai model 2026 untuk pasaran AS menerusi pengedar rasminya, Keeway America.
Ulas rekaan, Benelli Tornado 550 (2026) tampil cukup garang dengan garis tajam, permukaan berlapis dan wajah hadapan agresif yang diserlahkan menerusi sepasang lampu siang (DRL) LED yang katanya diinspirasikan daripada taring singa, sebagai penghormatan kepada lambang bersejarah syarikat berkenaan.
Penggunaan nama Tornado itu juga membawa nilai sentimental yang tinggi dalam sejarah Benelli, mengambil inspirasi daripada keunikan kejuruteraan model terdahulu seperti Tornado Tre 900.
Di bahagian trenkuasa, Benelli Tornado 550 (2026) dikuasakan dengan enjin 554 cc, 2 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah 56 Hp pada 8,250 rpm dan tork 54 Nm pada 5,500 rpm.
Menggunakan kerangka jenis 'trellis' keluli terdedah dengan lengan ayun aluminium berkembar, dinamik tunggangan Benelli Tornado 550 (2026) dijamin melalui penggunaan fork jenis terbalik (USD) Marzocchi 41 mm boleh laras (depan) dengan penyerap hentak tunggal Marzocchi berserta pelarasan pramuat dan lantunan (belakang).
Tugasan menghentikan jentera pula diserahkan kepada komponen premium jenama Brembo, membabitkan cakera berkembar 320 mm dengan kaliper 4 piston (depan) dan brek cakera tunggal 260 mm dengan kaliper 2 piston (belakang).
Menariknya, Benelli Tornado 550 (2026) ditawarkan dengan pakej elektronik komprehensif termasuk paparan meter TFT berwarna bersaiz lima inci berserta sambungan telefon pintar, memiliki dua mod tunggangan (Normal dan Sport), kawalan cengkaman (TCS), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), klac gelincir dan brek antikunci (ABS) dwisaluran.
Di pasaran AS, ia dijual pada harga pengenalan AS$ 5,999 (sekitar RM 26,500).

