BENELLI TRK 552 (2024) Muncul Di China, Petanda Hayat TRK 502 Hampiri Penghujung?

TERKINI

3/5/20241 min read

KEHADIRAN model 'Adventure Touring' Benelli TRK 502 tak dinafikan berjaya mengangkat semula nama jenama motosikal Itali namun milik China, Benelli di pasaran dunia.

Terkenal menerusi penawaran yang 'mampu milik', ia turut mencipta populariti di Itali namun baru-baru ini, muncul perkembangan menarik yang dijangka memberikan 'kesan' kepadanya dan seperti dapat dijangka, di China.

Berdasarkan laporan media di Eropah, syarikat itu bakal menawarkan 'abang' kepada Benelli TRK 502 iaitu Benelli TRK 552 (2024). Dan ia bukan sekadar khabar angin dengan imej model berkenaan sudah pun tular.

Seperti namanya, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 549 cc, Parallel Twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Menurut laporan berkenaan, ia adalah enjin yang sama digunakan pada model-model Benelli seperti Tornado 552.

Dari sudut kuasa, angka yang dihamburkan juga dikatakan berkemungkinan sama seperti model Tornado 552 yang dipadankan dengan enjin dari QJMotor.

Selain rekaan terutama di bahagian lampu depan yang dilihat lebih menarik berbanding TRK 502, apa yang menarik buat Benelli TRK 552 (2024) adalah seperti penggunaan komponen yang lebih premium.

Antaranya adalah penggunaan kaliper brek dari jenama J.Juan, fork USD dari jenama Mazocchi, penggunaan 'Swing arm' aluminium dan panel meter digital TFT.

Seperti TRK 502, Benelli TRK 552 juga dikatakan bakal dikeluarkan dalam dua versi iaitu Standard dan X yang dibezakan menerusi penggunaan jenis rim dan aksesori.

Di pasaran tempatan, Benelli Malaysia masih menawarkan Benelli TRK 502/X namun ia berdepan cabaran cukup sengit berikutan peningkatan penawaran dalam segmen berkenaan yang kian meningkat.