BENELLI TRK 602 X Muncul Di EICMA, Tiba Di Malaysia Tahun Ini?
Dari sudut penampilan, Benelli TRK 602 X mengambil inspirasi daripada model lebih besar TRK 702 dan TRK 902 namun tampil dengan reka bentuk lebih moden dan kemas
TERKINI
1/4/20261 min read


BENELLI sekali lagi mencuri perhatian apabila memperkenalkan penawaran terbaharu, Benelli TRK 602 X, model yang digelar pewaris kepada model yang cukup popular, Benelli TRK 502 dan menariknya, ia dijangka mampu menjadi penanda aras baharu bagi penggemar kembara jarak jauh.
Dari sudut penampilan, Benelli TRK 602 X mengambil inspirasi daripada model lebih besar TRK 702 dan TRK 902 namun tampil dengan reka bentuk lebih moden dan kemas, garis lebih bersih, permukaan lebih halus dan siluet yang mudah dikenali.
Lampu hadapan dan topeng baharu memberikan wajah lebih agresif, sesuai dengan imej motosikal kembara premium.
Selain rangka yang diperbaharui untuk meningkatkan kestabilan tunggangan, posisi tunggangan tegak dengan hendal lebar turut menekankan keselesaan untuk perjalanan jauh, sambil mengekalkan karakter sporty.
Dari sudut trenkuasa, Benelli TRK 602 X dijana enjin 554 cc, 2 Silinder dengan crank 270 darjah, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa dihamburkan pada angka 56 Hp @ 8,250 rpm dengan tork 54 Nm @ 5,500 rpm.
Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) 43 mm dengan jarak travel 140 mm dan penyerap hentak tunggal dengan jarak travel 173 mm.
Brek pula menggunakan cakera berkembar 320 mm dengan kaliper 4 Piston (depan) dan cakera tunggal 260 mm dengan kaliper 1 Piston (belakang).
Ciri-ciri menarik Benelli TRK 602 X lain adalah:
▪ Rim jejari 19 inci (depan), 17 inci (belakang)
▪ Brek cakera berkembar depan
▪ Panel meter TFT 5 Inci dengan ciri sambungan telefon pintar
▪ Ada 2 mod tunggangan (Normal/Sport)
▪ Sistem kawalan cengkaman (TCS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan ciri boleh nyahaktif
Di Malaysia, jenama Benelli diuruskan oleh pihak MForce Bike dan menurut maklumat, model yang cukup menarik ini sedang diusahakan untuk mendarat ke pasaran tempatan pada tahun ini.





