BENELLI TRK 702X. Fenomena '502X' Bakal Kembali?

Untuk Benelli TRK 702X, ia bukan saja hadir sekadar sebagai model gantian, tetapi sebagai model yang lebih berkuasa, moden dan lengkap dengan spesifikasi jauh lebih menggiurkan

TERKINI

5/3/20262 min read

KEPADA yang mengikuti arena permotoran tempatan, pasti anda ingat akan fenomena 'laku keras' yang dicetuskan oleh Benelli TRK 502X suatu ketika dahulu dan menariknya, Benelli bersedia untuk membuat kepulangan semula menerusi Benelli TRK 702X.

Tampil dengan reka bentuk motosikal kembara bersaiz besar, apa yang menarik kepada Benelli TRK 502X pastinya pada angka harganya.

Tetapi bagi Benelli TRK 702X, ia bukan saja hadir sekadar sebagai model gantian, tetapi sebagai model yang lebih berkuasa, moden dan lengkap dengan spesifikasi jauh lebih menggiurkan.

Apa yang pasti, rungutan 'kurang kuasa' mungkin tidak begitu dirasai untuk Benelli TRK 702X yang kini dipacu oleh enjin bersesaran 698 cc, Parallel-twin, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi enam kelajuan klac manual.

Ia mampu menghamburkan kuasa 70 Hp pada 8,000 rpm dan tork 70 Nm pada 6,000 rpm. Di atas kertas, angka ini sudah cukup 'sedap' untuk melayan lebuh raya mahupun laluan berbukit dengan tenang.

Bukan sekadar gah pada enjin, rupa paras Benelli TRK 702X juga makin kacak. Dibangunkan sepenuhnya oleh pusat rekaan Centro Stile Benelli di Pesaro, Itali, ia berjaya mengadunkan gaya agresif namun kekal mementingkan aspek aerodinamik.

Menurut Benelli, setiap lekuk badan, cermin penghadang angin hinggalah ke pelindung tangan direka khusus untuk memberi perlindungan optimum kepada penunggang daripada rempuhan angin ketika menunggang pada kelajuan tinggi.

Sesuai dengan DNA sebuah mesin lasak jarak jauh, Benelli TRK 702X dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 20 liter. Biarpun mencatatkan berat keseluruhan 222 kg, ia masih mesra penunggang Asia dengan ketinggian pelana 830 mm, serta kelegaan tanah 210 mm yang sedia meratah laluan off-road ringan.

Soal pengendalian, pakej suspensi Benelli TRK 702X tidak mengecewakan dengan bahagian depan menggunakan fork jenis terbalik (USD) bersaiz 50 mm dengan jarak gerak 140 mm, manakala penyerap hentak tunggal di belakang lengkap dengan fungsi pelarasan preload dan rebound.

Menariknya, pembeli tidak perlu pening kepala menaik taraf tayar kerana MForce bermurah hati menawarkan tayar premium Pirelli Scorpion Rally STR sebagai kelengkapan standard. Ia dibalut pada set rim spoke bersaiz 19 inci di depan (110/80 R19) dan 17 inci di belakang (150/70 R17).

Tugas memberhentikan Benelli TRK 702X diserahkan kepada cakera brek berkembar 320 mm dengan angkup empat piston di roda depan, dan cakera tunggal 260 mm dengan angkup satu piston di belakang.

Bagi menyuntik elemen moden, keseluruhan sistem pencahayaannya menggunakan LED dan ia turut dilengkapi panel meter warna TFT bersaiz 5-inci pintar yang menyokong fungsi sambungan Bluetooth ke telefon pintar.

Secara keseluruhannya, menerusi pakej reka bentuk premium Eropah, kelengkapan spesifikasi tinggi dan nadi baharu yang lebih bertenaga, tidak mustahil Benelli TRK 702X bakal mengulangi semula 'Fenomena 502' apabila ia mula menembusi pasaran kelak. Sama-sama kita nantikan!