BENELLI TRK902 Xplorer Diumumkan Untuk Pasaran Malaysia, Brembo, Marzocchi, RM 45,888!

Seperti hala tuju baharu Benelli di peringkat global, Benelli TRK902 Xplorer adalah model yang menawarkan pakej spesifikasi kelas premium namun dalam julat harga yang cukup menarik

PELANCARAN

11/21/20262 min read

BENELLI Malaysia memastikan persaingan dalam segmen motosikal kembara berstatus aras tinggi di pasaran tempatan terus sengit apabila melancarkan Benelli TRK902 Xplorer untuk pasaran tempatan bersama harga menarik, RM 45,888!

Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

2 pilihan warna tersedia iaitu Slate Grey dan Stealth Green.

Seperti hala tuju baharu Benelli di peringkat global, Benelli TRK902 Xplorer adalah model yang menawarkan pakej spesifikasi kelas premium namun dalam julat harga yang cukup menarik.

Tampil dengan rekaan cukup menarik, Benelli TRK 902Xplorer tampil dengan identiti yang menggabungkan gaya lasak dan moden yang menjadi 'DNA' dalam keluarga TRK.

Rekaannya kekal 'berotot', posisi tunggangan tinggi serta panel badan tersendiri, sekali gus menyerlahkan karakter sebuah motosikal kembara 'adventure' yang bersedia menempuh pelbagai cabaran perjalanan.

Apa yang menjadikan Benelli TRK902 Xplorer istimewa iadalah ia mendapat sentuhan pasukan pereka profesional di Centro Stile Benelli, Pesaro, Itali, yang turut bertanggungjawab menghasilkan rekaan beberapa model ikonik jenama itu.

Ulas trenkuasa, Benelli TRK902 Xplorer dipacu enjin 904 cc, 2 Silinder, 4 Lejang, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap Klac Slipper.

Kuasa yang dihamburkan berada pada angka 91.8 Hp pada 9,000 rpm serta tork 90 Nm pada 6,500 rpm.

Selain rekaan dan trenkuasa, tarikan utama Benelli TRK902 Xplorer turut terletak pada penggunaan komponen berjenama terkemuka termasuk sistem suspensi fork teleskopik terbalik 43 mm dan monoshock daripada jenama Marzocchi, selain sistem brek cakera berkembar 320 mm (depan) dan 260 mm (belakang) yang dibekalkan oleh Brembo.

Turut tersendia adalah Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran Bosch dengan fungsi Cornering ABS, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Sebagai antara model mercu, Benelli TRK 902Xplorer hadir lengkap dengan panel meter TFT 7 inci bersama sambungan navigasi aplikasi, mod tunggangan, sistem Quick Shift (QSS), kawalan jelajah (CCS), pendikit elektronik (ETC) serta pemanas grip dan tempat duduk.

Info lain:

  • Set roda 110/80-19 (depan), 150/70-17 (belakang)

  • Tayar Pirelli

  • Tangki bahan api 21 liter

Seperti biasa, setiap pembelian Benelli TRK902 Xplorer turut disertakan bersama satu kotak simpanan atas dan dua kotak sisi, selain perlindungan waranti dua tahun atau 20,000 kilometer serta perlindungan komponen enjin tanpa had perbatuan bagi baki tempoh waranti berkenaan.