MARC Marquez memperoleh grid kedudukan yang baik di pusingan terakhir MotoGP Grand Prix Barcelona tetapi kelebihan itu tidak dapat dijadikan kelebihan selepas sekadar mengisi kedudukan ke-7 Perlumbaan Sprint.
Sekalipun pada satu ketika nampak mampu memberikan cabaran kepada dua pencabar kejuaraan, Francesco Bagnaia dan Jorge Martin, pelumba Gresini Ducati itu tampak bergelut.
Marquez di awal perlumbaan turut terbabit dengan kemalangan dengan pelumba GasGas Tech3 yang mengakibatkan jentera 'Rookie' itu rosak teruk tetapi mengakui insiden itu tidak menjejaskan jenteranya.
Malah sekalipun tidak berdepan situasi berkenaan, juara dunia lapan kali itu mengakui kedudukan lima terbaik di luar jangkauannya.
"Selepas kelayakan saya agak optimis, tetapi kemudian pada Perlumbaan Sprint, dengan pusingan pertama yang sukar, kami kembali ke posisi asal," kata Marquez memetik laporan Crash.net.
"Kami mempunyai kepantasan untuk berada di kedudukan ke-5 dan ke-10 dan kami berada di tempat ke-7. Sejujurnya apabila bercakap pada pusingan pertama, posisi kami adalah di kedudukan ke-6 dan ia tidak bertambah baik.
"Jadi untuk esok (hari ini) kami perlu meningkat, jika tidak perlumbaan akan menjadi amat panjang.
"Saya bergelut, bukan dengan jentera, tetapi dengan litar. Pada Mei lalu perasaannya cukup buruk. Saya dapat merasai had litar, tetapi pada minggu ini situasinya terbalik.
"Selangkah demi selangkah saya akan cuba untuk menjadi lebih kompetitif, tetapi saya bergelut."
Marquez yang terlepas kedudukan ketiga dalam carta kejuaraan kepada Enea Bastianini yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua turut menyuarakan pandangan dan nasihat kepada kedua-dua pencabar perebutan kejuaraan.
"Saya fikir kedudukan ke-9 untuk Jorge mudah untuk diperoleh, tetapi perlumbaan tetap perlumbaan. Pecco perlu melakukan apa yang dibuatnya hari ini... Dan Jorge perlu melakukan apa yang dibuatnya hari ini."