BERHENTI Berfikir Saya Terlalu Hormati Marc - Alex Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/18/20251 min read


ALEX Marquez sekali lagi terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan sebagai naib juara - buat kali keempat berturut-turut di belakang abangnya, Marc Marquez berakhir Grand Prix (GP) Argentina 2025.
Seperti di Thailand, hanya Alex dilihat benar-benar memberi cabaran kepada Marc ketika perlumbaan namun ia masih tidak mencukupi untuk menghalang pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo itu merangkul kemenangan ke-90 miliknya.
Sekalipun mendapat pujian menggunung daripada abangnya yang melabelnya sebagai pencabar utama kejuaraan, ada yang berpendapat Alex 'terikat' dengan perasaan hormat terhadap Marc.
Begitupun, pendapat itu ditolak pelumba pasukan Gresini Ducati itu.
"Saya memperoleh soalan ini banyak kali, 'bila kamu akan hilangkan rasa hormat kepada Marc', atau 'kamu menghormati Marc terlalu banyak," kata Alex memetik laporan Crash.net.
"Bagi saya, soalan ini tidak menghormati saya. Saya adalah pelumba. Saya sentiasa memberikan 100 peratus. Saya cuba untuk menekan pasukan saya, penaja-penaja saya.
"Saya tahu yang ia adalah abang saya dan saya akan sentiasa mempunyai rasa hormat yang lebih apabila saya memintasnya.
"Tetapi saya adalah orang pertama yang mahu menewaskannya dan mahu menang. Tetapi saya lebih realistik berbanding orang lain kerana saya tahu bagaimana orangnya Marc.
"Saya tahu kekuatannya dan saya tidak mempunyai masalah untuk bercakap mengenainya. Mungkin kamu tidak akan secara terus berkata pencabar kamu melakukan kerja yang amat bagus. Tetapi ini adalah abang saya, jadi saya tidak mempunyai masalah untuk menyatakannya.
"Dan saya juga tidak ada masalah untuk menerima jika dia lebih baik berbanding saya dalam beberapa perkara. Jadi saya akan cuba belajar. Saya akan cuba sentiasa memberikan 100 peratus.
"Jadi berhenti berfikir yang saya terlalu menghormati Marc. Kita melihatnya hari ini (GP Argentina). Kami bertarung antara satu sama lain. Dia lebih laju daripada saya dan saya memberikan 100 peratus. Jadi saya gembira dengan tempat kedua."
Sebelum ini, Alex tidak pernah menghuni kedudukan carta MotoGP lebih baik daripada kedudukan ke-8 namun selepas dua pusingan musim ini, dia hanya ketinggalan 16 mata di belakang Marc dan menghuni tangga kedua.
