BEZZ Bergurau Nak Guna Taktik Vale

Carta kejuaraan MotoGP ketika ini dikuasai dua pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi dan Jorge Martin dengan kedua-duanya menghuni tangga pertama dan kedua sekali gus mencetus memori membabitkan mentor Bezz, Valentino Rossi atau lebih dikenali Vale

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/22/20261 min read

PENDAHULU carta kejuaraan MotoGP 2026, Marco Bezzecchi berseloroh mahu meletakkan 'penghadang pemisah' di dalam garaj pasukan Aprilia - taktik yang digunakan mentornya Valentino Rossi dalam pemburuan gelaran keseluruhan sebelum ini.

Seperti diketahui, Jorge Martin yang juga rakan sepasukan Bezzecchi sedang menduduki tangga kedua carta dan menjadi antara pencabar utama kejuaraan bagi kempen MotoGP musim 2026.

Martin selepas tamat pusingan di Amerika Syarikat sebelum ini secara terbuka menyatakan dia akan mula meniru gaya dan cara Bezzecchi mengendalikan jentera Aprilia RS-GP bagi merapatkan jurang prestasi antara mereka berdua.

Dan Bezzecchi dalam responnya kepada akhbar Itali, Gazzetta dello Sports secara berjenaka berkata dia akan meletakkan penghadang pemisah dalam kotak pit.

"Tidak, sudah tentu saya hanya bergurau. Di satu sudut, saya gembira kerana ia bermakna saya sudah melakukan tugas yang agak baik.

"Namun, memandangkan dia (Martin) juga seorang pelumba yang sangat hebat, mungkin saya juga akan menirunya selepas ini."

Sebagai info, gurauan pelumba kelahiran Itali itu sebenarnya merujuk kepada peristiwa ikonik pada musim 2008 yang membabitkan legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi.

Ketika itu, Rossi mengarahkan penghadang pemisah dibina di dalam garaj pasukan Yamaha bagi mengelakkan rahsia pelarasan tertiris kepada rakan sepasukan baharunya, Jorge Lorenzo, memandangkan mereka menggunakan pembekal tayar yang berbeza.

Penghadang kontroversi itu kekal digunakan sehingga musim 2009, walaupun saingan kelas MotoGP bertukar kepada pembekal tayar tunggal, Bridgestone.