BEZZECCHI Tinggalkan VR46 Ducati Musim Depan, Sertai Aprilia?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/20/20241 min read
MARCO Bezzecchi membuat keputusan untuk kekal bersama VR46 Ducati berbanding menyertai Pramac Ducati bagi musim 2024 dan setakat ini, keputusan itu tampak tak begitu tepat.
Bezzecchi dari Itali muncul sebagai pencabar kejuaraan musim lalu dan bersaing sengit dengan Jorge Martin dan Francesco Bagnaia sebelum menamatkan kempen di kedudukan ketiga.
Tetapi setakat ini, dengan menggunakan jentera Ducati GP23, hanya satu kedudukan podium berjaya dicapainya selain menghuni tangga ke-11 carta kejuaraan.
Andai menyertai Pramac Ducati, pelumba Akademi VR46 itu akan menunggang jentera spesifikasi terkini GP24 - jentera yang ketika ini menghuni kedudukan dua teratas carta pelumba.
Ketika diminta mengulas mengenai masa depannya, pelumba Akademi VR46 itu tidak berselindung dan mendedahkan yang ada pengeluar selain Ducati berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
"Ya," kata Bezzecchi namun tidak mendedahkan perinciannya.
"Ketika ini, posisi saya sekarang, sudah tentu saya sedang melihat kepada pilihan yang ada tetapi saya juga ketika ini berada dalam tempoh di mana saya sedang bergelut, jadi saya tidak begitu memikirkan mengenai masa depan.
"Saya cuba untuk memikirkan mengenai situasi semasa," katanya memetik laporan di Crash.net.
Ketika ini, pengeluar lain yang kuat dikaitkan dengan Bezzecchi adalah Aprilia yang sudah pun sah kehilangan pelumbanya, Maverick Vinales musim depan untuk digandingkan bersama Jorge Martin.
Tetapi berkata lanjut, pelumba berusia 25 tahun dan mengumpul tiga kemenangan di MotoGP musim lalu itu turut mengesahkan yang dia tidak tahu pasukan mana yang akan disertainya pada musim 2025.