BIMOTA Sah Sertai WSBK 2025, Pasukan 'Kilang' Kawasaki Tutup!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/24/20242 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal Itali, Bimota mengumumkan kehadiran semulanya di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) musim depan yang turut mencipta kejutan pengumuman pengunduran pasukan 'kilang' Kawasaki.

Apa yang menarik, perkembangan itu turut menyaksikan kedua-dua firma berkenaan - Bimota dan Kawasaki akan menjalin kerjasama menerusi penubuhan pasukan baharu dikenali Bimota by Kawasaki Racing Team (BbK Racing Team).

Dan pasukan itu akan dipacu jentera yang menggunakan casis Bimota dan enjin Kawasaki daripada jentera Ninja ZX10RR bermula musim 2025.

Penggabungan itu turut menyaksikan sebahagian staf dan krew pasukan Kawasaki Racing Team (KRT) turut akan bertugas bersama pasukan baharu itu termasuk pelumbanya, Axel Bassani yang memiliki kontrak KRT sehingga 2025.

Perkembangan berkenaan menjadi satu lagi perkara yang mengejutkan buat peminat Kawasaki selepas turut kehilangan pelumba bintangnya, Jonathan Rea musim lalu.

KRT dan Rea pernah melakar kejayaan cukup menakjubkan apabila meraih enam kemenangan berturut-turut bermula musim 2015 hingga 2020.

"Sejak 13 tahun lalu, diri saya, dan semua yang berada di bengkel KRT di Granollers, sudah mendedikasikan diri kami sepenuhnya kepada projek Superbike Kawasaki dan merangkul tujuh gelaran dunia WorldSBK ditambah dengan banyak anugerah Pasukan dan Pengeluar," kata Pengurus Pasukan KRT, Guim Roda.

"Kini, selepas hampir bersaing hampir empat dekat di WSBK, kami berbangga untuk menjadi sebahagian daripada penubuhan era baharu dalam infrastuktur BbK Racing Team yang baharu.

"Sudah tentu kami akan mengambil sedikit masa untuk melihat dan meraikan sejarah Kawasaki dalam dua perlumbaan, tetapi turut amat teruja untuk menjadi komponen penting dalam pasukan baharu ini.

"Ini adalah evolusi kepada pendekatan Kawasaki di pentas tertinggi perlumbaan produksi dan kami berbangga untuk memainkan peranan penting dalam projek baharu ini.

"Saya yakin yang kami memiliki sumber kepakaran manusia dan teknologi yang diperlukan untuk berjaya dan ia akan menjadi sesuatu yang segar, pengelaman yang menyegarkan untuk menyenaraikan dua pelumba dalam pasukan bagi kempen WSBK pada 2025."

Kepada yang tidak tahu, Bimota memiliki sejarah yang panjang dalam perlumbaan Superbike dan kehadiran semulanya ke WSBK musim depan adalah sebahagian daripada perancangan untuk meningkatkan jualan motosikal keluaran jenama itu.

Kawasaki sememangnya tidak asing dengan Bimota yang menyaksikan syarikat induk, Kawasaki Heavy Industries memiliki 49.9 peratus pegangan saham ke atas syarikat Itali itu sejak 2019.

Kerjasama itu turut menyaksikan pengeluaran model seperti Bimota BX450 (enduro) yang juga model 'rebadge' kepada Kawasaki KX450 serta Bimota Tesi H2.

Dan jika Bimota memasuki kempen WorldSBK pada 2025, ia juga memberi makna pengeluaran model baharu sedang berjalan yang akan menggunakan enjin Ninja ZX-10RR dan kerangka dari Bimota BB3.

Sebagai alternatif, Bimota juga boleh melakukan 'rebadge' kepada model Kawasaki Ninja ZX-10RR.