BLUESHARK Jalin Kerjasama Dengan Grab, Penghantar Grab Bakal Guna Skuter Elektrik
8/10/20231 min read


SATU kerjasama menarik membabitkan syarikat pengeluar motosikal elektrik tempatan, EP Blueshark Sdn. Bhd. (EPSB) dengan pengendali aplikasi penghantar Grabcar Sdn. Bhd. (Grab) dimeterai, baru-baru ini.
Menerusi perjanjian kerjasama itu, EPSB menerusi Blueshark Ecosystem Sdn. Bhd. (Blueshark) yang juga penyedia skuter elektrik akan membentuk hubungan kerja membabitkan program Mobiliti Hijau dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Dan sasaran program berkenaan adalah menukar 80,000 rakan kongsi penghantaran Grab daripada menggunakan motosikal enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada motosikal kenderaan elektrik (EV).
Menurut Blueshark, uua inisiatif utama diumumkan sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama iaitu Program Perintis R1 yang menyaksikan Blueshark akan menyediakan, secara percuma, 50 unit motosikal R1 EV kepada rakan kongsi penghantaran Grab terpilih untuk percubaan produk.
Syarikat itu berkata, memetik laporan Utusan Malaysia adalah matlamat projek bertujuan untuk mengumpulkan data pengalaman untuk motosikal EV Blueshark, sambil mempromosikan penjimatan kos dengan mobiliti hijau.
Untuk inisiatif kedua ialah Program EV yang menyaksikan EPSB akan mengeluarkan, memasang dan mengedarkan Blueshark IOV Electric Motorcycle, model skuter elektrik pintar yang akan ditawarkan oleh Blueshark kepada rakan kongsi pemandu dan rakan penghantaran Grab pada harga tawaran istimewa.
EPSB juga akan memberikan waranti kilang untuk Motosikal Elektrik Blueshark IOV.
Dan sebagai sebahagian daripada Program EV, Blueshark akan menyediakan bateri kepada rakan kongsi pemandu Grab dan rakan kongsi penghantaran pada harga promosi RM 79 sepasang, sebulan, untuk enam bulan pertama, dan seterusnya, pada RM 110 sepasang, setiap bulan.
Selain itu, rakan kongsi penghantaran Grab yang mengambil bahagian berhak mendapat pertukaran bateri BlueSwap Pro tanpa had selama 3 bulan di Stesen Tukar Bateri BlueSwap pada harga RM139 sebulan, tertakluk kepada terma dan syarat.




