BLUESHARK Malaysia Tambah 10 Fasiliti Penukaran Bateri Di Lembah Klang

TERKINI

3/18/20241 min read

SYARIKAT pengeluar skuter elektrik tempatan, Blueshark Malaysia menambah 10 fasiliti rangkaian penukaran baterinya di Lembah Klang.

Penambahan itu menyaksikan fasiliti yang dikenali sebagai BlueStation berkenaan meningkat kepada 15 secara keseluruhan.

Seperti sebelum ini, fasiliti BlueStation dipasang di stesen minyak Petronas terpilih di pelbagai lokasi strategik.

Antara lokasi terbaharu adalah di kawasan Bangsar, Damansara Jaya, Cheras, Kepong dan Kota Damansara.

Dilancarkan pada Mac tahun lalu bermula dengan lima fasiliti BlueStation, Blueshark adalah infrastruktur pertukaran bateri pertama yang tersedia secara komersial di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Blueshark Ecosystem Sdn Bhd (Asean), Jin Chan berkata pihaknya sentiasa percaya yang teknologi penukaran bateri adalah kunci untuk memacu penggunaan motosikal elektrik di Malaysia.

"Perluasan rangkaian pertukaran bateri BlueStation Blueshark meluaskan liputan kami di kawasan utama dan meningkatkan penawaran Blueshark kepada seberapa ramai penunggang yang mungkin," katanya.

Sebagai info, skuter keluaran syarikat itu, Blueshark R1 didakwa memiliki keupayaan untuk mengharungi jarak 110 km untuk pengecasan penuh dengan kelajuan tertinggi pada 90 kmj.

Blueshark Malaysia dalam pada itu menyasarkan untuk memiliki 50 fasiliti BlueStation di seluruh negara menjelang penghujung tahun 2024.

Selain Lembah Klang, antara negeri yang berada dalam perancangan syarikat itu adalah di Johor dan Pulau Pinang.