BMW Ada Kelebihan Di Portimao

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/22/20251 min read

PRINSIPAL ROKiT BMW Motorrad WorldSBK, Shaun Muir memberi amaran kepada pencabarnya yang Litar Algarve, Portugal bukan saja 'baik' kepada pelumbanya, malah pengeluar itu sendiri.

Kempen WorldSBK akan bersambung ke pusingan kedua di Eropah, minggu depan selepas mengharungi saingan kurang memberangsangkan di Australia daripada kedua-dua pelumbanya, Toprak Razgatlioglu dan Michael van der Mark.

Algarve sebelum ini menjadi destinasi di mana BMW menerusi jenteranya BMW M1000RR meraih kemenangan pertamanya pada 2021 bersama van der Mark.

Dan litar itu turut menjadi destinasi di mana pelumba Turki, Razgatlioglu mencipta rekod kemenangan berturut-turut pada musim lalu.

"Portimao adalah litar yang serasi dengan pelumba-pelumba kami dan juga BMW M1000 RR," kata Muir kepada WorldSBK.com. "Ia cukup baik kepada Toprak dan Muchael sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kedua-duanya meraih podium dan kemenangan di sini.

"Aliran dan susun atur trek ini secara umumnya berfungsi dengan baik untuk jentera kami, menjadikannya titik rujukan yang kukuh untuk ujian.

"Secara keseluruhan ia litar yang menakjubkan, dan kami suka untuk datang ke sini ke Algarve, di mana keadaan cuacanya kebiasaan biru sepanjang hari."

Razgatlioglu begitupun akan mengharungi pusingan di Portugal dengan ketinggalan 42 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Nicolo Bulega daripada Ducati yang menyapu bersih ketiga-tiga kemenangan di Phillip Island.

Kejayaan Bulega begitupun dikritik penyandang juara dunia WorldSBK itu yang melabel aksi Bulega itu seperti 'hampir Piala Ducati' dengan lima kedudukan teratas Perlumbaan 2 turut dibolot pelumba Ducati.