BMW Belum Ada Jawapan Bila Toprak Razgatlioglu Kembali Berlumba

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/26/20241 min read

BMW Motorrad setakat ini masih belum membuka mulut sama ada pelumba bintangnya, Toprak Razgatlioglu akan berlumba di Pusingan 10 WSBK 2024 di Aragon, Sepanyol hujung minggu ini.

Pendahulu kejuaraan WorldSBK itu terlepas aksi di Cremona, Itali minggu lalu selepas dikatakan belum pulih susulan kecederaan yang dihadapinya di Magny-Corus, Perancis.

Selain Cremona, kemenangan ngeri di Magny-Cours turut mengakibatkan pelumba kelahiran Turki itu tidak beraksi dalam dua pusingan WSBK berturut-turut.

Situasi itu menyaksikan Razgatlioglu ketika ini hanya memiliki kelebihan tipis sebagai pendahulu dan hanya dibezakan 13 mata dengan pencabar terdekatnya, Nicolo Bulega daripada Ducati.

Dan jika pelumba berusia 27 tahun itu sekali lagi terlepas minggu perlumbaan di Aragon, kedudukannya berkemungkinan besar bakal dipintas.

Apa yang pasti, Razgatlioglu sudah boleh mengetepikan kebimbangan membabitkan penalti penggunaan enjin jika beraksi Aragon kerana penalti itu sudah diambil pelumba gantian, Markus Reiterberger di Cremona.

Mengikut peraturan, setiap pelumba di WSBK diperuntukkan enam enjin untuk kegunaan sepanjang musim tetapi Razgatlioglu sudah menggunakan lima daripadanya menjelang aksi di Magny-Cours.

Hukuman jika melepasi kuota enam enjin itu adalah berlumba di grid paling belakang ditambah dengan dua penalti 'long lap' berganda dalam setiap perlumbaan utama.

Kerana itu, BMW memberikan Reiterberger enjin baharu di Cremona yang turut menyaksikannya menerima hukuman berkenaan minggu lalu dan Razgatlioglu akan memperoleh enjin baharu jika dia kembali berlumba.

Ketua BMW Motorrad Motorsport, Sven Blusch, pada minggu lalu menjelaskan Razgatlioglu hanya akan kembali dengan pelepasan doktor.

"Selagi masalah 'pneumothorax' masih ada, Toprak tidak akan dibenarkan untuk berlumba," kata Blusch.

"Jelas saya fikir kita semua tahu yang semua pelumba, jika mereka dalam kesakitan, mereka akan mengharunginya dan mereka tidak mempunyai masalah untuk memberikan tekanan.

"Dari sudut itu, saya boleh katakan adalah agak sulit kerana dia (Toprak) tidak mengharungi kesakitan yang banyak. Di mindanya, dia sudah bersedia untuk berlumba.

"Tetapi kesemua doktor bersetuju pada ketika itu yang adalah terlalu merebahaya untuknya berlumba. Ini adalah masalah terbesar untuk kami ketika ini."

Tidak seperti BMW Motorrad, Yamaha dalam pada itu mengambil pendekatan berbeza dengan mengumumkan pelumbanya Jonathan Rea akan berlumba di Aragon.