BMW Concept RR Ditayangkan, Inilah Bayangan Generasi Terbaharu 1kRR!
TERKINI
5/25/20251 min read


BMW Motorrad melakukan sesuatu yang jarang dibuat iaitu menayangkan model konsep untuk jentera 'Sportbike' aras tingginya, BMW Concept RR yang sekali gus memberikan gambaran awal tentang generasi RR yang akan datang.
Dipertontonkan sempena acara Concourso d'Eleganza Villa d'Este di Itali, BMW Concept RR dikatakan tetapi mengambil inspirasi daripada jentera perlumbaan BMW M1000RR yang digunakan di pentas WorldSBK.
Justeru, apa yang boleh dijangka adalah BMW Concept RR bakal menjanjikan prestasi luar biasa untuk jalan raya dan litar.
Tiada banyak maklumat yang didedahkan terutama dari sudut trenkuasa, tetapi ia dijangka menggunakan enjin 1000 cc, 4 Silinder Sebaris yang sama seperti digunakan pengeluar itu di WorldSBK menerusi juara dunia, Toprak Razgatlioglu.
Justeru, jangkaan kuasa yang boleh dihamburkan adalah pada angka 230 Hp.
Sebagai model aras tinggi, ia turut dijangka dipadankan dengan sistem elektronik canggih termasuk pemetaan enjin, brek enjin, kawalan cengkaman dan pelbagai lagi.
Dari sudut rekaan pula, ia jelas memberikan perincian terhadap ciri-ciri aerodinamik.
Dengan kemasan teritama panel badan, fender termasuk 'Swingarm' menggunakan material daripada karbon fiber untuk berat yang lebih ringan dan ketahanan maksimum.
Apa yang dapat dilihat juga adalah ia turut memiliki sayap aerodinamik yang lebih nipis dan reka bentuk hadapan yang lebih kompak yang katanya untuk lebih kestabilan pada kelajuan tinggi.
Menerusi BMW Concept RR, ia nampak yang BMW Motorrad berusaha untuk mencapai keseimbangan sempurna antara kestabilan, kelajuan selekoh maksimum, dan rintangan udara minimum.
Bos BMW Motorrad Markus Flasch sendiri mengakui yang syarikat itu tidak pernah memberikan gambaran awal seperti ini terhadap generasi masa depan untuk model RR.
"BMW Concept RR adalah sebuah karya agung hasil pasukan pembangunan kami, baik dari segi teknikal mahupun bahasa reka bentuk," katanya.
Tiada maklumat bila ia akan dilancarkan tetapi menurut jangkaan, ia berkemungkinan tiba sekitar 2027.








