BMW Dah Ada Calon Ganti Toprak Razgatlioglu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/13/20251 min read

BMW Motorrad dikatakan sudah mempunyai dua calon bagi menggantikan Toprak Razgatlioglu seandainya pelumba bintangnya itu memilih untuk angkat kaki pada penghujung musim ini.

Razgatlioglu tidak pernah menyembunyikan hasratkan untuk meninggalkan grid WorldSBK untuk menyertai kempen lebih besar MotoGP.

Setakat ini, dua pengeluar Jepun, Honda dan Yamaha dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pelumba bintang Turki itu.

Dan jika tandatangan berjaya dinoktahkan, BMW Motorrad jelas bakat berdepan kesukaran terutama bagi mengisi kekosongan ditinggalkan penyandang juara dunia WorldSBK itu.

Menurut laporan GPOne, BMW Motorrad sudah pun memulakan langkah awal untuk berjumpa dengan pengurus kepada dua calon pengganti Razgatlioglu ketika pusingan di Cremona, Itali.

Dan mereka adalah pengurus kepada bintang Ducati, Nicolo Bulega dan pelumba Yamaha, Andrea Locatelli.

Laporan itu menyatakan yang bos BMW Motorrad, Sven Blusch sudah pun berbincang dengan pengurus Bulega, Alberto Martinelli dan pengurus Locatelli, Yuri Danesi.

Apa yang menarik, kontrak kedua-duanya Bulega dan Locatelli bersama pasukan masing-masing akan berakhir pada penghujung musim ini.

Bulega sebelum ini pernah berkata keinginannya ketika ini adalah untuk kekal bersama pengeluar Itali itu yang memberikannya peluang untuk beraksi di pentas WorldSBK.

Locatelli dalam pada itu mengakui terbuka dengan sebarang tawaran termasuk Yamaha.