BMW M1000RR M Competition (2023) Kini Di Malaysia, Bermula RM 289.5k, Padat 'Jajan' Gentian Karbon!

TERKINI

9/12/20232 min read

MENGIKUTI pelancaran global pada Oktober tahun lalu, BMW Motorrad Malaysia akhirnya membawa masuk varian teratas jentera 'Sportbike' aras tinggi jenama Jerman itu ke pasaran tempatan BMW M1000RR M Competition (2023).

Sebagai antara jentera yang menjadi tanda aras kepada pretasi, kehadiran BMW M1000RR memang sesuatu yang amat dinantikan peminatnya dan dengan tambahan M Competition Package, ia menjadi lebih mengujakan.

Tetapi datang bersama semua prestasi hebat itu adalah harganya yang memang 'menyeramkan' iaitu bermula RM 289,500 (asas).

Untuk permulaan, BMW M1000RR M Competition (2023) tampil dengan rekaan baharu yang lebih agresif terutama di bahagian depan berbanding versi yang pernah dilancarkan di Malaysia sebelum ini pada 2021 lalu.

Dari sudut trenkuasa, jentera hebat ini dilengkapkan dengan enjin bersesaran 999 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Dengan penggunaan teknologi 'Shiftcam', injap titanium, piston lebih ringan serta 'rocker arm' yang lebih ramping dan ringan serta 'connecting rod titanium', ia menghamburkan kuasa 212 Hp pada 14,500 rpm dan 113 Nm tork pada 11,000 rpm.

Tiba dengan pakej M Competition, motosikal ini turut padat dengan pelbagai komponen berprestasi dan ringan daripada gentian karbon antaranya lengan ayun aluminium yang 220 gram lebih ringan, tuil brek dan klac M, pelindung tuil brek, rantai M Endurance serta peletak kaki M Competition.

Komponen lain yang datang dengan gentian karbon termasuklah rim, panel badan, mudguard, winglet, hadapan, penyejuk cakera brek, pelindung rantai, pelindung 'sproket' dan beberapa lagi.

Tetapi sedikit aneh, dengan segala komponen dan jajan yang dipadankan, menurut BMW Motorrad Malaysia, jentera ini hanya memiliki kelajuan tertinggi pada angka 314 km/j.

Menggunakan panel meter TFT 6.5 inci, turut datang secara standard untuk BMW M1000RR M Competition (2023) adalah 'OBD GPS Laptrigger' namun ciri seperti M GPS Datalogger dan M Cover Kit datang secara pilihan.

Untuk visor angin, pemilik boleh memilih tiga jenis sama ada gelap, menggelembung atau gelembung gelap .

Pilihan warna yang ditawarkan pula adalah tiga iaitu:

  • Light White

  • Racing Blue Metallic

  • Racing Red.

Dan dengan harga RM 289,500 (Tanpa insurans, cukai jalan, pendaftaran), pembeli turut menerima jaminan pengeluar selama 3 tahun selain Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia.

Menurut BMW Motorrad Malaysia, sekalipun tempahan sudah dibuka, penghantaran untuk BMW M1000RR M Competition (2023) dijangka bermula pada tahun 2024.