BMW Masih Ketinggalan, Tapi Tak Jauh - Toprak

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/7/20231 min read

JAGOAN WSBK Yamaha yang kini bersama BMW Motorrad, Toprak Razgatlioglu menguntumkan senyuman pada ujian sulungnya sambil mengakui jentera BMW M 1000 RR 'amat hampir' untuk mencabar kelompok depan WorldSBK.

Lebih menarik, input yang diperoleh daripada bintang kelahiran Turkiye itu pada dua hari sesi ujian di Portimao, Portugal tidak berlangsung dalam kondisi 'sempurna', namun separa basah.

Dan untuk menonjolkan rasa gembiranya, juara dunia WorldSBK 2021 itu turut melakukan 'Reverse wheelie' atau lebih dikenali sebagai 'Wikang' di Malaysia ketika di paddock.

"Perbezaan terbesar (BMW M 1000 RR berbanding Yamaha R1) adalah brek enjin yang sukar dipercayai dan perbezaan besar lain adalah jentera ini amat laju ketika laluan lurus," kata Razgatlioglu.

"Ini sesuatu yang bagus kerana ini kali pertama saya merasai kuasa. Saya amat gembira mengenainya.

"Saya tidak tahu mengenai aerodinamik tetapi mungkin saya merasainya sedikit sewaktu melalui selekoh terakhir menuju bukit. Saya merasakan yang jentera ini tidak melakukan 'Wheelie' tetapi mungkin ini membantu, saya tidak memahaminya.

"Saya hanya fokus ketika memasuki selekoh dan memecut. Mungkin saya memerlukan lebih banyak pusingan untuk memahami 'sayap' aero ini. Saya fikir ia membantu ketika keluar daripada selokoh terakhir.

"Dengan Yamaha, saya sentiasa cuba untuk merebahkan badan kerana 'Wheelie' tetapi tidak dengan BMW. Saya tidak bergelut. Ketika keluar daripada selekoh, saya merasai kuasanya dan selepas bukit, kuasanya masih ada dan ia terus melakukan pecutan.

"Ketika melakukan brek di selekoh 1, saya juga gembira kerana sejurus saya merebahkan badan, saya merasakan brek enjin yang cukup banyak dan kini ia ujian yang amat positif.

"Saya memerlukan lebih banyak pusingan. Saya cuba melakukan yang terbaik dan memahami jentera ini, menjelaskan beberapa masalah. Kami secara serta merta bertambah baik. Saya memerlukan masa. Kami tidak begitu jauh, Saya hanya mahu mengatakan perkara ini. Kami akan datang."

Razgatlioglu yang menyertai Yamaha pada 2020 bertindak menyertai pasukan 'Factory' BMW Motorrad, ROKiT BMW Motorrad WorldSBK musim depan dalam usahanya mencabar kejuaraan dunia yang ketika ini didominasi Ducati.