BMW Motorrad Ada Rancangan Sertai MotoGP?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/19/20241 min read

BMW berpotensi menjadi 'muka baharu' dalam kempen MotoGP menyertai Ducati, Aprilia, KTM, Yamaha dan Honda jika berpandukan kepada kata-kata bos baharu BMW Motorrad, Markus Flasch.

BMW sebelum ini melepaskan peluang untuk menyertai perlumbaan elit itu dengan mengambil 'tiket' Suzuki namun pelantikan Ketua BMW Motorrad yang baru, Flasch penghujung tahun lalu membuka semula kemungkinan itu.

Malah, ada khabar angin yang menyatakan perjanjian membabitkan perkara berkenaan sudah pun dipersetujui bersama bos-bos di Dorna, namun bukan dalam masa terdekat tetapi ketika perubahan peraturan MotoGP yang dijadual pada 2027.

Memetik laporan media Jerman, Motorrad, Flasch menjelaskan yang dia adalah peminat setia kepada sukan permotoran dan mahu pembabitkan BMW Motorrad dalam industri itu sentiasa meningkat.

"Bagi saya, tidak dapat dinafikan bahawa program sukan permotoran yang diuruskan dengan baik memberikan sumbangan kepada pengukuhan jenama dan peningkatan minat dalam komuniti," kata Flasch.

"Kerana itu anda boleh menganggap bahawa kami di BMW Motorrad akan terus mengukuhkan komitmen sukan permotoran kami."

BMW Motorrad ketika ini cukup serius dalam pembabitannya di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan Kejuaraaan Enduran Dunia (EWC) dengan Flasch tidak menolak untuk beraksi di kejuaraan lain terutama MotoGP.

"BMW M sudah menjadi rakan kongsi kenderaan MotoGP sejak bertahun-tahun. Sebagai bos BMW M, saya sudah berada di semua perlumbaan, saya mengenali siapa yang mengetuai dan kami adalah jenama yang berada di sana," katanya.

"Tetapi adalah jelas yang ia perlu masuk akal untuk kami, dan kerana itu mengapa kami memerhatikannya dengan terperinci. Saya tidak mahu menolaknya."

Menurut laporan The Race, sumber daripada 'paddock' MotoGP menyatakan komitmen BMW Motorrad sudah melebihi daripada 'tidak menolak' dengan perjanjian sudah pun dimeterai ketika perubahan radikal membabitkan enjin di MotoGP bermula pada 2027.

Dorna ketika ini mengosongkan dua 'grid' di MotoGP yang dikhaskan kepada pasukan pengeluar susulan penarikan diri mengejut Suzuki.