BMW Motorrad Cari Pengganti Toprak Razgatlioglu Di Paddock MotoGP

Pencarian BMW Motorrad untuk mendapatkan pengganti terhadap pelumba bintangnya Toprak Razgatlioglu diluaskan kepada pelumba berpengalaman di kancah MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/16/20251 min read

BMW Motorrad
BMW Motorrad

BMW Motorrad mengesahkan pelumba berpengalaman di MotoGP turut berada dalam radar mereka dalam usaha mencari pengganti kepada pelumba bintangnya, Toprak Razgatlioglu.

Seperti diketahui, sensasi Turki Razgatlioglu sah meninggalkan pengeluar Jerman itu untuk memenuhi impiannya beraksi di MotoGP bersama pasukan Pramac Yamaha bagi musim 2026.

Tampak sukar untuk mendapatkan pelumba dengan kaliber yang sama, Ketua Sukan Permotoran BMW Motorrad, Sven Blusch mengesahkan mereka sedang mengintai di paddock MotoGP bagi pengganti Razgatlioglu.

Juara dunia dua kali WorldSBK, Razgatlioglu mempunyai resume yang cukup kuat bersama BMW Motorrad dengan pelbagai kejayaan yang dicapai bersama pengeluar Jerman itu.

Setakat ini, BMW sudah dikaitkan dengan beberapa pelumba Moto2 antaranya Aron Canet namun Blusch mengesahkan mereka turut mencari pelumba berpengalaman di MotoGP bagi 'kerusi' panas itu.

"Kami ketika ini sedang melihat kepada pasaran pelumba yang besar," kata Blusch kepada WorldSBK.com. "Paddock di sini adalah penting, tetapi kami juga mencari di paddock MotoGP.

"Saya fikir ia memerlukan dua atau tiga minggu lagi untuk mendapatkan perasaan yang baik mengenai siapa yang perlu diambil, sudah tentu, menarik untuk bercakap dengan beberapa pengurus di Assen.

"Kami menimbangkan kedua-dua pelumba berpengalaman di MotoGP dan pelumba muda daripada Moto2 yang mungkin tidak pergi ke MotoGP, tetapi faham betapa hebatnya tahap WorldSBK.

"Saya fikir perpindahan Toprak ke MotoGP menunjukkan kualiti pelumba yang ada di sini, sekalipun pelumba-pelumba Moto2."

Kehadiran Razgtlioglu ke MotoGP menyaksikan dua pelumba Pramac Yamaha, Jack Miller dan Miguel Oliveira berada dalam situasi tidak menentu membabitkan masa depan mereka dengan kedua-duanya adalah pelumba yang cukup berpengalaman di MotoGP.