BMW Motorrad Dedah Rahsia Kebangkitan Toprak Razgatlioglu
Toprak Razgatlioglu pada minggu ini buat pertama kalinya akan mengharungi kempen WorldSBK sebagai pendahulu kejuaraan pada Pusingan 8 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Balaton Park, Hungary
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/22/20251 min read


PELUMBA sensasi Turki, Toprak Razgatlioglu buat pertama kalinya akan mengharungi kempen WorldSBK sebagai pendahulu kejuaraan menjelang Pusingan 8 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Balaton Park, Hungary pada minggu ini.
Bintang BMW Motorrad itu meraih kedudukan itu selepas memintas pelumba Ducati, Nicolo Bulega pada pusingan sebelum ini di Donington Park, UK.
Razgatlioglu tampak cukup bergelut pada awal musim ini dan kerap mengadu mengenai tahap kompetitif jenteranya berbanding pakej yang digunakan pada kempen 2024 yang menyaksikannya muncul juara dunia.
Seperti diketahui, BMW kehilangan kelebihan konsesi membabitkan casis pada musim ini dan persiapan mereka ketika pra-musim turut diganggu masalah cuaca yang membuatkan pasukan dan pelumba bintangnya itu sedikit masa untuk memahami potensi BMW M1000RR.
"Kami memulakan ujian dengan lewat dengan material baharu," kata Prinsipal pasukan, Shaun Muir. "Tetapi nampaknya di litar kami melakukan ujian, kami akan memperoleh prestasi yang baik pada pusingan itu.
"Kami melakukan ujian di Portimao, kami memperoleh prestasi yang benar-benar baik. Kami melakukan ujian di Misano dan mendapat prestasi yang baik ketika perlumbaan. (Donington Park), saya fikir ia sentiasa bagus untuk Toprak kerana ia adalah litar kegemarannya.
"Secara umumnya, kami hanya fokus untuk menstabilkan pelarasan jentera, cuba untuk berada di posisi di mana pengesahan pelarasan data daripada litar ke litar menjadi agak standard.
"Kami hampir mencapai tahap dengan pakej baharu ini di mana ia berfungsi secara konsisten dari satu litar ke litar yang lain."
Muir dalam pada itu mengakui pasukannya bergelut sejak beberapa bulan lalu untuk mengatasi defisit Bulega di puncak carta pelumba.
"Pujian kepada keseluruhan pasukan. Mereka bekerja dengan amat keras dan tidak pernah mengalah. Toprak mempunyai fokus yang tajam setiap perlumbaan. Ia amat menyakitkannya di Most kerana dia sudah berusaha keras sepanjang minggu dan tidak mendapatkan keputusan yang maksimum.
"Sejak itu, di Misano dan Donington, dia amat bertekad untuk kembali ke tahap ini dalam kejuaraan. Usaha yang gigih daripada semua orang dan kami kini boleh mula fokus daripada satu perlumbaan, tidak sabar untuk mengharungi ujian dan perlumbaan berikutnya."
