BMW Motorrad Mungkin Hilang Khidmat Toprak Razgatlioglu Tahun Depan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/8/20251 min read

BOS BMW Motorrad, Marc Bongers tidak menolak yang pasukan itu berkemungkinan kehilangan khidmat juara dunianya, Toprak Razgatlioglu di WorldSBK pada musim 2026.

Selepas mengeluarkan kenyataan berminat untuk menyertai MotoGP, pelumba bintang Turki itu akhirnya memilih untuk kekal di WorldSBK musim ini apabila tidak memperoleh tawaran seperti diharapkan.

Razgatlioglu mempunyai kontrak sehingga 2025 bersama BMW Motorrad dan sekali pun mahu juara dunia 2021 itu kekal, pengeluar Jerman itu tidak pasti sama ada ia mampu dilaksanakan.

"Kita semua tahu yang Toprak adalah pelumba yang mahukan cabaran dan motivasi," kata Bongers yang juga Pegarah Sukan Permotoran BMW Motorrad kepada Speedweek. "Dia terlalu berorentasikan kepada kejohanan dan bosan dengan cepat.

"Malang kami juga sedar yang dia tidak akan menjadi juara dunia sebanyak lima kali dengan menggunakan jentera kami, kerana seperti yang saya katakan dia mahukan cabaran.

"Kami akan mengambilnya satu langkah pada satu masa. Adalah terlalu awal untuk menyatakan apa yang akan dilakukan oleh Toprak pada 2026 kerana pada ketika ini kami tidak tahu, atau mempunyai indikasi mengenainya.

"Sudah tentu kami akan berada dalam situasi untuk menggantikannya, kerana ada kemungkinan yang dia akan memutuskan untuk melakukan perkara lain, dan kerana itu pasti sukar untuk kami mencari penggantinya.

"Ketika ini kontrak semua pelumba-pelumba dengan pengeluar lain sedang menghampiri tempoh tamat kerana tiada siapa mempunyai perjanjian bagi 2026. Jadi kami akan lihat apa yang akan berlaku.