BMW Motorrad Sertai MotoGP 2027? Dedah Ada Berhubung Dengan Dorna

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/31/20241 min read

BMW Motorrad sudah pun berhubung dengan pengendali MotoGP, Dorna mengenai kemungkinan penyertaan pengeluar Jerman itu dalam perlumbaan elit dua roda berkenaan.

Memetik laporan Motorsport, Ketua BMW Motorrad, Markus Flasch mendedahkan sudah pun berhubung dengan Dorna dan berbincang soal peraturan perlumbaan itu.

"Kami berhubung dengan Dorna dan bercakap mengenai peraturan," kata Flasch. "Ia adalah sebahagian daripada penilaian kami.

"Musim 2027 menjadi masa yang sesuai untuk bermula. Tetapi ia tidak memberi kami tekanan untuk membuat keputusan.

"2027 boleh menjadi masa yang sempurna untuk kami terbabit dengan MotoGP kerana ketika ini peraturan baharu akan diperkenalkan," katanya.

BMW Motorrad meraih kemenangan pertama dalam kempen perlumbaan WorldSBK sejak kehadiran mereka sebagai pasukan 'Factory' menerusi kejayaan Toprak Razgatlioglu di Barcelona, minggu lalu.

Pengeluar itu sebelum ini pernah menolak untuk menggantikan posisi Suzuki di grid MotoGP.

Mengulas lanjut, Flasch berkata antara aspek utama pembabitkan BMW di MotoGP adalah mengenai jenama.

"Aspek paling penting adalah jenama. MotoGP adalah mengenai jenama dan jangkauan global. Itu adalah sebab mengapa syarikat itu mengambil bahagian.

"Aspek lain adalah pemindahan teknologi, tetapi ia adalah perkara yang kedua paling penting.

"Kunci kepada keputusan adalah untuk menyakinkan orang ramai mengenai idea. Analisis yang strategik diperlukan. Kewangan hanya salah satu aspek. Jenama adalah satu lagi aspek.

"Jika analisis meyakinkan dan memperoleh sokongan dalaman, keputusan tidak bergantung kepada siapa CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) BMW Motorrad," kata Flasch yang menegaskan minatnya terhadap MotoGP bukan faktor penting keputusan BMW.