BMW Motorrad Tak Akan Sertai MotoGP Pada 2027
BMW Motorrad kehilangan pelumba bintangnya yang juga penyandang juara dunia WorldSBK, Toprak Razgatlioglu pada musim 2026 selepas pelumba Turki itu menyertai saingan MotoGP bersama Pramac Yamaha
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/7/20251 min read


BOS BMW Motorrad, Markus Flasch mengakui menyertai kempen MotoGP adalah salah satu pilihan pengeluar motosikal gergasi Jerman itu tetapi menegaskan tiada keputusan muktamad sudah dicapai setakat ini.
Sejak peraturan baharu dengan penggunaan enjin 850 cc diumumkan untuk MotoGP bermula musim 2027, timbul spekulasi yang menyatakan BMW bakal menyertai menyertai siri berkenaan sebagai pasukan berstatus 'kilang'.
Ia dikuatkan selepas kejuaraan elit berkenaan sememangnya memiliki dua slot grid yang kosong sejak Suzuki bertindak menarik diri pada penghujung 2022 dan masih belum diisi sehingga sekarang.
Tetapi pada Ogos 2024, Dorna mengesahkan jumlah pelumba di grid tidak akan melebihi 22 pelumba yang bermakna, mana-mana pengeluar baharu, termasuk BMW perlu bergabung dengan pasukan bebas sedia ada sekiranya ingin menyertai MotoGP.
Penyertaan BMW dalam perlumbaan itu turut menjadi tanda tanya selepas pelumba bintangnya yang juga juara dua kali WorldSBK Toprak Razgatlioglu, mengumumkan perpindahan ke MotoGP bersama pasukan Pramac Yamaha musim depan.
Dalam satu temu bual bersama AMCN, Flasch memberikan kemas kini mengenai hala tuju BMW: "Soal penyertaan MotoGP memang sudah lama dibincangkan dalam BMW. Tapi saya boleh sahkan, kami masih belum membuat keputusan muktamad,” katanya.
"Kami akan buat keputusan strategik terlebih dahulu, kemudian barulah kami tentukan hala tuju teknikal yang sesuai. Tahun 2027 bukan masa yang sesuai untuk kami sertai (MotoGP).
"Kami sentiasa menilai semula strategi perlumbaan kami, MotoGP adalah satu pilihan, off-road juga satu lagi pilihan. WorldSBK pun bukanlah sesuatu yang buruk, cuma ia lebih berfokus kepada pasaran Eropah.
"Jadi, beri kami sedikit masa lagi dan kami akan tampil dengan jawapan."
Buat masa ini, MotoGP menampilkan lima pengeluar - Ducati, Aprilia, KTM, Yamaha dan Honda.
