BMW Motorrad Tayang Jentera WorldSBK 2024, Toprak Selesa Di Berlin!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/18/20241 min read

BMW Motorrad menayangkan 'liveri' baharu kedua-dua pasukan pengeluar Jerman itu yang beraksi di perlumbaan WorldSBK 2024 iaitu ROKiT BMW Motorrad WorldSBK Team and the Bonovo action BMW Racing Team, semalam.

Majlis pengenalan itu berlangsung BMW Motorrad Welt yang terletak di Pusat Pemasangan BMW Motorrad terbaharu di Berlin, Jerman yang juga tempat 'lahirnya' jentera berprestasi BMW M 1000 RR.

Seperti diketahui, ROKiT BMW Motorrad WorldSBK Team pada musim ini akan dipacu dua pelumba iaitu Michael van der Mark serta juara dunia WorldSBK 2021, Toprak Razgatlioglu.

Dan Bonovo action BMW Racing Team pula dipacu Garrett Gerloff dan Scott Redding.

Razgatlioglu dalam pada itu mengakui terkejut ketika tiba di Berlin.

"Apabila saya tiba di Berlin pada Isnin dan meninggalkan lapangan terbang, saya merasa amat terkejut kerana semua orang boleh berbahasa Turki," kata pelumba kelahiran Turki itu.

"Juga di kilang pembuatan, ada ramai pekerja berbangsa Turki. Saya amat gembira," katanya.

Mengulas mengenai musim baharu bersama ROKiT BMW Motorrad WorldSBK Team, Razgatlioglu berkata dia percaya yang jentera baharu BMW sudah bersedia bukan saja untuk bersaing, malah merebut kejuaraan.

"Ramai orang kata yang BMW tidak bersedia untuk kejuaraan tetapi saya percaya jentera saya sudah bersedia untuk bersaing untuk menang dan kejuaraan," katanya.

"Kami hanya memerlukan pelarasan saya, kerana gaya tunggangan saya berbeza. Apabila kami memperolehnya, kami dengan mudah boleh bersaing untuk menang," katanya.

Sesi ujian WorldSBK berikutnyta berlangsung di Jerez de la Frontera, Sepanyol pada 24 dan 25 Januari 2024. Perlumbaan pembuka musim berlangsung pada 23 hingga 25 Februari di Phillip Island, Australia.