BMW Motorrad Tayang Trio BMW F800 GS, F900 GS, F900 GS Adventure (2024), R1300 GS Sabar Dulu!
TERKINI
9/9/20232 min read
KETIKA ramai peminat motosikal BMW Motorrad menunggu kehadiran jentera 'Adventure Touring' terbaharu BMW R1300 GS, jenama Jerman itu membuat kejutan dengan memperkenalkan tiga 'adik' kepada model aras tinggi itu, BMW F800, F900 GS dan F900 GS (2024).
Diposisikan kepada model 'Adventure' atau kembara kelas pertengahan, BMW F800, F900 GS dan F900 GS Adventure (2024) adalah model kemas kini dan terbaharu menggantikan model BMW F750GS, F850GS dan F850GS Adventure yang sebelum ini menerjah pasaran pada 2018.
Dan seperti namanya, antara kemas kini yang dijalankan kepada ketiga-tiga model itu adalah di bahagian trenkuasanya yang menggunakan enjin Parallel-Twin bersesaran antara 853 cc ke 895 cc.
Dipadankan dengan transmisi enam kelajuan klac manual, BMW F900 GS dan F900 GS Adventure, menghasilkan kuasa 105 Hp pada 8,500 rpm dan tork 93 Nm pada 6,750 rpm.
Untuk BMW F800 GS, kuasa yang dihamburkan adalah 87 Hp pada 6,750 rpm dan tork 91 Nm pada 6,750 rpm.
Di bahagian suspensi, BMW F900 GS dan F900 GS Adventure (2024) menggunakan fork jenis terbalik (USD) dari Showa dan datang dengan ciri pelarasan penuh dan penyerap hentak tunggal juga dengan ciri pelarasan (preload, rebound).
BMW F800 GS pula dipadankan dengan fork teleskopik konvensional tanpa ciri pelarasan dengan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan pelarasan 'preload'.
Begitupun, ketiga-tiga model dipadankan dengan sistem brek yang sama iaitu cakera berkembar 305 mm dengan kaliper 2 piston (depan) dan cakera 265 mm tunggal dengan kaliper satu piston di belakang.
Diposisi untuk segmen lasak, BMW F900 GS dan F900 GS Adventure (2024) digandingkan dengan rim bersaiz 21 inci (depan) dan 17 inci (belakang) manakala BMW F800 GS (2024) dipadankan dengan dengan rim sukan 19 inci (depan) dan 17 inci (belakang).
Dari sudut teknologi bantuan tunggangan elektronik, ketiga-tiganya memperoleh dua mod tunggangan, ABS Pro dan Dynamic Traction Control secara standard.
Tetapi jika ia masih tidak mencukupi, turut tersedia sebagai pilihan adalah 'Ride Modes Pro' yang menyaksikan mod tunggangan Dynamic, Enduro dan Enduro Pro. Turut datang sebagai pilihan adalah sistem 'Keyless Ride'.
Datang secara standard untuk ketiga-tiga model adalah pelindung enjin, pemanas tangan, pelindung tangan, soket kuasa 12 volt dan port USB. Ciri-ciri lain yang turut dikongsi adalah seperti panel meter TFT-LCD 6.5 inci dan sistem lampu LED penuh.
Ketinggian pelana, kapasiti bahan api dan berat adalah seperti berikut:
BMW F800 GS (Tinggi pelana 815 mm, tangki bahan api 15 liter, 227 kg
BMW F900GS (Tinggi pelana 875 mm, tangki bahan api 14.5 liter, berat 219 kg)
BMW F900GS Adventure (Tinggi pelana 875 mm - Pilihan 805 mm-890 mm, tangki bahan api 23 liter, 246 kg)