BMW R 1300 GS (2024) 'Gen' Baharu Buat Debut Global, Lebih Ringan, Berkuasa, Ada Faktor 'X'!

TERKINI

9/29/20232 min read

BMW Motorrad secara rasmi memperkenalkan generasi terbaharu motosikal 'Adventure Touring' maha popularnya, BMW R 1300 GS (2024) yang didakwa lebih ringan, kompak, berkuasa dan 'kacak'.

Menjadi antara model paling dinantikan oleh peminatnya, termasuk industri pada tahun ini, imej baharu BMW R 1300 GS (2024) beberapa kali tertiris termasuk imej lengkapnya, beberapa hari sebelum pelancaran rasmi.

Dan menariknya, rekaan BMW R 1300 GS (2024) akhirnya memang serupa dengan imej yang tertiris yang membuatkan kejutannya sedikit mengurang. Seperti dijangka, pembaharuan paling ketara adalah membabitkan lampu depan yang kini bermotif 'X'.

Secara keseluruhan, lampu LED dengan rekaan 'X' itu merangkumi dua unit lampu LED untuk lampu biasa dan tinggi selain 4 unit LED unit untuk DRL (Lampu siang) dan sisi.

Lampu signal pula kini diposisikan di bahagian pelindung bar hendal dan ia dilihat sebagai pembaharuan yang berani dan menarik.

Selain rekaan yang juga lebih kompak berbanding BMW R 1250 GS (2023), turut baharu adalah trenkuasa dengan BMW R 1300 GS (2024) dipadankan dengan enjin 'Boxer Twin' 1,300 cc yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Menggunakan teknologi BMW ShiftCam (variable valve timing), 145 Hp pada 7,750 rpm dan tork 149 Nm pada 6,500 rpm.

Sekalipun memiliki kuasa yang lebih bertenaga berbanding 'GS' terdahulu, BMW Motorrad mendakwa kecekapan penggunaan bahan api BMW R 1300 GS (2024) kekal seperti sebelum ini.

Turut mengalami perubahan adalah di bahagian kerangka dengan BMW Motorrad menggunakan komponen yang baharu yang didakwa lebih kuat dan ringan.

Sistem suspensi juga menggunakan sistem 'Evo Telelever' yang baharu di bahagian depan manakala di bahagian belakang sistem 'Evo Paralelever' yang didakwa memberikan tunggangan lebih responsif.

Di bahagian brek, BMW R 1300 GS (2024) menggunakan brek cakera berkembar 310 mm dengan kaliper 4 piston (depan) dan cakera tunggal 285 mm dengan kaliper 2 piston (belakang).

Apa yang menarik, ciri seperti ABS Pro dan Dynamic Brake Control datang secara standard dan bukan lagi pilihan. Set roda pula menggunakan rim bersaiz 19 inci (depan) dan 17 inci (belakang).

Memiliki ketinggian pelana 850 mm, begitupun menerusi sistem ‘Adaptive seat height’, ia membolehkan pelana diturunkan ketinggiaannya kepada 820 mm.

Sebagai antara motosikal termoden BMW Motorrad, BMW R 1300 GS (2024) turut dipadankan dengan pelbagai ciri bantuan tunggangan elektronik yang canggih.

Empat mod tunggangan tersedia iaitu - Rain, Road, Eco dan Enduro. Turut tersedia adalah ciri seperti 'Dynamic traction control', 'Engine drag torque control', 'Dynamic brake assist', 'Hill start control'.

Menerusi ciri 'Active Cruise Control' (ACC), ia turut menawarkan fungsi seperti Front Collision Warning (FCW) and Lane Change Warning (SWW).

Untuk mengakses segala informasi berkenaan, panel meter yang digunakan adalah TFT berwarna 6.5 inci yang lengkap dengan sambungan ke telefon pintar. Ciri-ciri lain adalah seperti TPMS, port USB, soket 12V, sistem tanpa kunci dan pemanas grip.

Dengan segala pembaharuan, BMW R 1300 GS (2024) secara keseluruhan 4 kg lebih ringan (berat kering 237 kg) berbanding BMW R 1250 GS dan informasi penting lain adalah seperti kapasiti tangki bahan api 19 liter.

Tiga varian BMW R 1300 GS (2024) ditawarkan iaitu Triple Black, GS Trophy dan Option 719 Tramuntana. Tidak diketahui bila BMW R 1300 GS (2024) ini akan menerjah pasaran tempatan tetapi melihat kepada popularitinya, ia pasti tak lama.