BMW R1300 GS Adventure (2025) Diperkenalkan Di Malaysia, 2 Pilihan Transmisi, Jangkaan Harga Dari RM 150k-RM165k!
PELANCARAN
5/8/20252 min read


BMW Motorrad Malaysia, hari ini memperkenalkan model terbaharunya untuk pasaran tempatan menerusi BMW R1300 GS Adventure (2025) yang membuat debutnya sempena acara Malaysia Autoshow 2025.
Secara keseluruhan, BMW R1300 GS Adventure (2025) di pasaran Malaysia akan diperkenalkan dalam dua pilihan transmisi iaitu automatik atau dikenali 'Automated Shift Assistant (ASA)' dan serta transmisi konvensional.
Menerusi sistem ASA, ia tampil tanpa tuil klac dan didatangkan untuk varian Triple Black, GS Trophy dan Option 719 Karakorum.
Manakala versi transmisi konvensional dipadankan dengan varian Racing Red dan masih dilengkapi dengan ciri 'Shift Assistant Pro'.
Tiada angka harga rasmi diumumkan tetapi BMW Motorrad Malaysia mengumumkan ia akan bermula daripada angka RM 150,000 untuk versi Standard, RM 155,000 untuk Triple Black dan GS Trophy dan RM165,000 untuk Option 719 Karakorum.
Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah asas dan tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran. Setiap pembelian memperoleh jaminan pengeluar selama tiga tahun tanpa had perbatuan.
Tampil sebagai versi 'Adventure', BMW R1300 GS Adventure (2025) tampil dengan rekaan berbeza dengan versi 'normal' untuk BMW R1300 GS.
Paling ketara pastinya menerusi rekaan tangki bahan api yang berbentuk petak dan lebih besar. Ini kerana kapasiti bagi model BMW R1300 GS Adventure adalah 30 liter berbanding 19 liter bagi versi biasa.
Sebagai model aras tinggi, BMW R1300 GS Adventure (2025) dilengkapi dengan pelbagai 'jajan' elektronik canggih dan menarik.
Pakej elektronik termasuklah sistem Active Cruise Control (ACC), Front Collision Warning (FCW), Lane Change Warning, Rear End Collision Warning (RECW) dan Adaptive Vehicle Height Control.
Selain itu, ia turut menawarkan ciri Riding Modes Pro yang memberi tambahan mod iaitu Dynamic, Dynamic Pro dan Enduro Pro selain mod sedia ada iaitu Rain, Road, Eco dan Enduro.
Sistem suspensi pula menggunakan sistem EVO-Telelever (depan) dan EVO-Paralever (belakang) yang dipertingkatkan dengan penyerap dan spring Dynamic Suspension Adjustment (DSA) boleh laras automatik berdasarkan mod tunggangan, keadaan jalan dan pengendalian.
Dalam keadaan standard, ketinggian pelana berada pada aras 870 mm atau 890 mm.
Di bahagian trenkuasa, BMW R1300 GS Adventure (2025) dipadankan dengan enjin boxer paling berkuasa pengeluar Jerman itu, 1,300 cc, 2 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dengan sistem pacuan akhir 'Shaft drive'.
Kuasa yang dihamburkan berada pada angka 145 hp @ 7,750 rpm dan tork 149 Nm @ 6,000 rpm.
Ciri-ciri menarik yang datang secara standard adalah seperti berikut:
Pemanas grip hendal
Sistem tanpa kunci
Sistem pemantau tekanan angin (TPMS)
Engine Drag Torque Control
Full Integral ABS Pro
Dynamic Cruise Control
















