BMW R1300 GSA (2024) Diperkenalkan, Lagi 'Ganas' Tapi Makin Pelik?
TERKINI
7/8/20242 min read


BMW Motorrad seperti dijangka, baru-baru ini memperkenalkan varian 'lebih ganas' untuk model aras perdananya dalam segmen 'lasak' yang menggunakan nama 'GS', BMW R1300 GSA (2024).
Sebelum pergi lebih jauh, BMW R1300 GS (2024) sudah pun dilancarkan di pasaran tempatan ketika acara Malaysia Autoshow 2024, Mei lalu bersama harga pengenalannya RM 140,000 (asas).
Seperti model-model yang memiliki tambahan 'A' atau 'Adventure', pelbagai penambahan dibuat dengan paling ketara membabitkan penampilan dan untuk BMW R1300 GSA (2024) turut membabitkan transmisi.
Daripada sudut penampilan, antara paling ketara adalah di bahagian tangki bahan api yang lebih besar selain yang membuatkan BMW R1300 GSA (2024) nampak lebih 'ganas' tetapi perlu diakui, agak pelik.
Sebagai model 'GSA', antara perbezaan utama yang membezakan dengan model 'GS' adalah membabitkan tangki bahan api yang lebih besar sebagai persiapan perjalanan jarak jauh terutama perjalanan merentas benua.
Justeru, tidak seperti model GS yang dipadankan dengan tangki bahan api 19 liter, BMW R1300 GSA (2024) memiliki kapasiti jauh lebih besar iaitu 31 liter.
Tetapi apa yang membuatkannya sedikit pelik adalah rekaan tangki bahan api yang membuatkan model berkenaan seperti mainan 'robot' dan lebih bersegi.
Malah sekali pandang, ia nampak seperti motosikal yang dihasilkan untuk filem fiksyen.
Selain itu, 'penambahan' lain yang diberikan kepada BMW R1300 GSA (2024) adalah visor angin yang lebih lebar dan besar, penggunaan rim jenis ‘Crosspoke’.
Bukan sekadar dari sudut rupa, BMW R1300 GSA (2024) juga memang lagi tinggi dan besar menerusi penggunaan sistem suspensi yang 20 mm lebih tinggi berbanding BMW R1300 GS.
Turut menarik dan baharu adalah ciri 'Automated Shift Assistant' (ASA). Dan BMW R1300 GSA (2024) adalah motosikal BMW pertama yang dilengkapi sistem ASA yang secara mudah yang menawarkan operasi penukaran gear tanpa klac.
Begitupun, ciri berkenaan yang agak mirip sistem DCT Honda masih yang ditawarkan sebagai pilihan.
Seperti dijangka, sistem ASA juga akan tersedia sebagai pilihan pada BMW R1300 GS bagi model 2025.
Sebagai model aras tinggi daripada BMW Motorrad, BMW R1300 GSA (2024) turut dipadankan dengan pelbagai ciri elektronik dan sistem bantuan tunggangan canggih.
Empat mod tunggangan tersedia iaitu Road, Rain, Eco serta Enduro dan sistem elektronik yang tersedia adalah seperti 'Engine drag torque control' (MSR), 'Dynamic Brake Control' (DBC), 'Hill Start Control' (HSC), 'Dynamic Traction Control' (DTC) 'Active Cruise Control' (ACC), 'Front Collision Warning' (FCW), 'Lane Change Warning', 'Rear End Collision Warning' (RECW) dan BMW Motorrad Full Integral ABS manakala ciri 'Electronic Dynamic Suspension Adjustment' (DSA) datang sebagai pilihan.
Di bahagian trenkuasa, BMW R1300 GSA (2024) menggunakan enjin yang sama seperti R1300 GS serba baharu dan enjin 'Boxer' paling berkuasa pernah dihasilkan pengeluar Jerman itu bersesaran 1,300 cc.
Ia menghasilkan kuasa setinggi 145 Hp pada 7,750 rpm dan tork maksimim 149 Nm pada 6,500 rpm.
Dengan segala naik taraf yang diberikan, BMW R1300 GSA (2024) mempunyai berat 269 kg berbanding BMW R1300 GS yang memiliki berat 'kerb' 237 kg.
Ciri-ciri menarik lain yang turut dikongsi dengan BMW R1300 GS adalah seperti penggunaan lampu matrix LED berbentuk 'X', BMW Dynamic Cruise Control, panel meter TFT 6.5 Inci berwarna, pemanas pelana dan grip.
Untuk BMW R1300 GSA (2024), pihak BMW Motorrad turut menawarkan pilihan warna Triple Black, GS Trophy dan Option 719 Karakorum.
Di Eropah, harga jualan yang diumumkan untuk BMW R1300 GSA (2024) adalah bermula £ 18,870 (RM 114,467) tetapi tarikh tiba di cawangan pengedar masih belum diumumkan.








