BMW Tabik Toprak Razgatlioglu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/22/20242 min read

PENGELUAR motosikal Jerman, BMW Motorrad mencipta sejarah baharu hasil kejayaan pelumba bintangnya, Toprak Razgatlioglu menjuarai gelaran dunia WorldSBK musim ini.

Untuk BMW, ia menjadi gelaran pertama buat mereka dalam siri perlumbaan elit dunia perlumbaan motosikal produksi itu.

Kehadiran Razgatlioglu dalam projeknya jelas satu rahmat buat BMW malah bos besar pengeluar itu, Marc Bongers mengakui mereka tidak menjangkakan dapat menjulang gelaran pada tahun pertamanya.

"Sasarannya adalah, apabila kami menandatangani Toprak dengan perjanjian selama beberapa tahun, kami berkata, 'Ok', sasarannya adalah untuk memenangi beberapa pelumbaan pada tahun pertama dan meraih kejuaraan pada tahun kedua," kata Bongers yang juga Pengarah BMW Motorrad Motorsport kepada WorldSBK.com.

"Sudah tentu tiada siapa berfikir mengenai senario ini."

Prinsipal pasukan ROKiT BMW Motorrad WorldSBK, Shaun Muir menjelaskan kejayaan yang diraih sebagai sukar dipercayai.

"Saya amat berbangga dengan kejayaan ini," kata Muir. "Ia pergelutan yang panjang, tidak tanpa sebarang masalahnya yang tersendiri.

"Kamu melihat emosi ini di paddock dan semua orang yang kami letakkan pada pasukan ini, ia tidak dibina dalam satu malam.

"Apabila projek bermula pada 2019, saya fikir hanya ada 10 staf yang masih bersama kami sejak permulaan sehingga sekarang. Setiap tahun kami meningkat dan menjadi lebih kuat, pasukan yang lebih berkredibiliti dan membawa kami di mana kami berada sekarang.

Razgatlioglu bukan satu-satunya bekas juara yang pernah digaji pasukan itu yang sebelum ini pernah mendapatkan khidmat Tom Sykes, juara BSB, Tommy Hill dan Josh Brookes.

"Toprak mempunyai keazaman kukuh yang tidak pernah saya lihat dalam pelumba lain sepanjang saya mengendalikan pasukan lumba,” kata Muir.

"Keazaman yang dia (Razgatlioglu) ada bukan sahaja untuk bersaing di peringkat tertinggi tetapi hanya menerima kemenangan. Pada pendapatnya, dia belum lagi berada di puncak, dia ada banyak lagi yang perlu dilakukan.”

Ketua Pegawai Eksekutif BMW Motorrad, Markus Flasch menghargai kepentingan kejuaraan itu kepada BMW dan berterima kasih kepada Razgatlioglu.

"Ini adalah tanda aras kepada BMW dan kami amat teruja yang kami mencapainya," kata Flasch. "Saya fikir kami memang layak mendapatnya. Kami amat memberi sokongan secara keseluruhan sebagai BMW, dan sukan permotoran adalah mengenai cerita sebagai wira.

"Semua orang gemarkan wira seperti Toprak (Razgatlioglu) dan dia sudah menunjukkan apa maknanya untuk menjadi juara atau atlet profesional, tetapi juga sukapnya dan cara dia berkongsi nilai jenama, BMW amat gembira mengenainya."