'BOLEH Bantu KTM Dengan Raih Kemenangan'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/30/20251 min read

PEDRO Acosta enggan mengambil pusing mengenai krisis yang dihadapi KTM tetapi mengakui merangkul kemenangan dalam perlumbaan di MotoGP mampu memberikan pengeluar Austria itu sedikit kelegaan.

KTM memperkenalkan liveri dan jentera baharu pasukan itu bagi kempen MotoGP 2025 yang turut menyaksikan Acosta dinaikkan pangkat ke pasukan utama Red Bull KTM Factory Racing.

Susulan kemelut yang dihadapi KTM, pelumba 'rookie' tunggal MotoGP musim lalu itu menjadi tumpuan malah sudah dikaitkan dengan beberapa pasukan disebalik memiliki kontrak sehingga penghujung musim 2026.

Dan ketika sidang media membabitkan pelumba pada acara itu, Acosta sekalipun tidak dibenarkan mengulas mengenai situasi membabitkan KTM secara terus tetap memberikan pandangannya.

"Pada akhirnya, ia bukan perkara yang saya perlu fikirkan," kata Acosta kepada Crash.net mengenai situasi yang melanda KTM ketika ini.

"Apa yang saya maksudkan, ini adalah kerja mereka di kilang, daripada Pit (Bierer) dan semua pengurus, kami hanya fokus sepenuhnya untuk menjadi laju di litar.

"Pada akhirnya, bantuan terbesar yang kami boleh berikan kepada semua orang adalah dengan meraih kemenangan. Kami tenang dan ia bukannya tugas saya untuk memikirkan mengenai perkara ini."

Acosta memulakan kempen 'rookienya' bersama pasukan satelit KTM, GasGas Tech3 yang kini dijenamakan semula sebagai pasukan Red Bull KTM Tech3 dan menggunakan 'liveri' dan skema warna sama dengan pasukan kilang.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu mengharungi kempen menakjubkan pada penampilan pertamanya di MotoGP apabila mencatatkan keseluruhan sembilan podium perlumbaan Grand Prix dan Sprint.

Begitupun, juara dunia Moto2 2023 itu terlepas untuk bergelar pelumba KTM terbaik di penghujung musim selepas hanya dibezakan dengan dua mata daripada rakan sepasukannya musim ini, Brad Binder di kedudukan kelima dan keenam.