'BOLEH Dapat Keputusan Lebih Baik Kalau....'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/7/20251 min read

JAGUH VR46 Ducati, Franco Morbidelli percaya dia berupaya untuk mencapai keputusan yang lebih baik pada perlumbaan pembuka tirai musim MotoGP 2025 di Thailand.

Bekas pelumba Yamaha itu tampil dengan prestasi positif di Buriram apabila menamatkan Perlumbaan Sprint di kedudukan ke-5 sebelum melepasi garisan penamat perlumbaan utama di tempat ke-4.

Mengakui kedudukan tempat ke-5 adalah yang terbaik untuk Perlumbaan Sprint, pelumba kelahiran Itali itu percaya dia boleh memperoleh keputusan lebih baik jika tidak dikenakan hukuman penalti grid perlumbaan.

Morbidelli dikenakan penalti tiga grid perlumbaan selepas didapati bersalah memperlahankan jenteranya di garisan perlumbaan yang kemudian mengganggu rentak penyandang juara, Pecco Bagnaia.

Terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-9, Morbidelli yang menggunakan jentera Ducati GP24 berkata tindakannya memintas ramai pelumba di depannya menyebabkan tayarnya habis lebih cepat.

"Tempat ke-4 adalah maksimum yang kami boleh dapat apabila bermula di petak kami kami dapat disebabkan oleh kesilapan yang berlaku pada Jumaat," kata Morbidelli memetik laporan Crash.net.

"Kami dapat bangkit dengan baik (pada Sabtu). Saya lebih terarah untuk menggunakan tayar depan (compound) keras.

"Tetapi pasukan menyakinkan saya untuk menggunakan tayar lembut dan ia sebenarnya pilihan yang betul kerana di awal perlumbaan saya boleh melakukan pintasan yang saya dapat dan itu saja pintasan yang saya buat sepanjang perlumbaan.

"Ia adalah sesuatu yang berisiko untuk dilakukan dengan keadaan suhu seperti ini dan juga dengan susun atur litar dan kilometer yang pelumba perlu lakukan di litar ini.

"Amat sukar untuk saya memintas pelumba-pelumba di depan saya. Dan selepas saya berada di belakang Pecco (Bagnaia), saya melakukan kesilapan kerana saya perlu menggunakan banyak tayar depan untuk memintas pelumba lain.

"Kemudian saya perlu bernafas kembali kerana ia amat panas, berundur dan membawa jentera ke kedudukan ke-4."

Prestasi Morbidelli di Thailand turut mendapat pujian bos Ducati Corse, Gigi Dall’Igna.