BOLEH Menang Dengan Margin Lagi Besar Tapi..
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/22/20241 min read


TOPRAK Razgatlioglu tampak seperti berada di kelas berbeza ketika melintasi garisan penamat Perlumbaan 2 WorldSBK di Most, Republik Czech, semalam yang juga kemenangan hatrik ketiga berturut-turutnya.
Memulakan perlumbaan di petak utama, pelumba kelahiran Turki itu begitupun berjaya dipintas pelumba Ducati, Nicolo Bulega di awal perlumbaan.
Tetapi kedudukan itu tidak lama apabila pelumba BMW Motorrad itu merampas kembali posisi itu dan memimpin perlumbaan sehingga penamat dan tampak seperti tidak mampu dicabar.
Mengulas hatrik ketiganya yang dilakukan secara berturut-turut, Razgatlioglu berkata; "Pertama sekali saya susah nak mempercayainya! Kini kami meraih 10 kemenangan. Saya amat gembira kami mendapat tiga lagi kemenangan di sini.
"Terutama di litar yang kami memang kuat. Terima kasih kepada saya kerana mereka melakukan kerja yang menakjubkan. Kami menambah baik jentera setiap sesi.
"Kini saya amat gembira kerana kami mempunyai margin yang cukup besar dalam kejuaraan.
"Tetapi saya tidak memikirkan perkara ini. Saya hanya fokus perlumbaan demi perlumbaan dan bagi saya kemenangan yang banyak. Saya hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk mencipta rekod. Kami akan melihatnya.
"Secara umumnya saya amat gembira."
Untuk mencipta rekod di WorldSBK, Razgatlioglu begitupun perlu memenangi dua lagi perlumbaan secara berturut-turut yang boleh dibuat di Portimao, Portugal pada Pusingan 7.
Melepasi garisan penamat 3.239 saat (s) di depan Bulega, pelumba berusia 27 tahun itu menjelaskan dia tidak mengerah jenteranya semaksimum mungkin ketika perlumbaan.
"Saya boleh lagi laju tetapi saya tidak memberikan tekanan kerana pada perlumbaan ini jurang tidak penting. Apa yang penting pada perlumbaan ini adalah kemenangan.
"Lihat kepada papan tanda pit, segala-galanya berada dalam kawalan dan pada pusingan ke-22 saya melakukan 32.6s. Ia catatan sepusingan yang amat baik. Segala-galanya berada dalam kawalan pada Perlumbaan 2. Tiada langsung masalah pada tayar belakang."
