BOS Gresini Racing, Nadia Padovani mengakui berang dengan ejekan yang diterima pelumbanya, Marc Marquez ketika menaiki podium sebagai juara di Grand Prix San Marino, minggu lalu.
Selepas merangkul kemenangan di laman sendiri, Aragon, Sepanyol sebelum itu, Marquez sekali lagi melakar kejutan apabila memenangi perlumbaan utama di Misano yang dilabel gelanggang sendiri juara dunia, Francesco Bagnaia.
Bagnaia yang dilihat sebagai 'hero' tuan rumah dan rakan sepasukannya, Enea Bastianini terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan kedua.
Tetapi bukan saja Ducati Lenovo, Misano turut dianggap venue istimewa kepada pasukan Gresini terutama buat pemiliknya Fausto Gresini yang meninggal dunia pada 2021.
Dan disebabkan hubungan istimewa antara Gresini dan Misano, Marquez dan pasukannya menunggang jentera Ducati GP23 dan memakai sut lumba dengan 'liveri' istimewa namun ia tidak menghalang daripada menerima cemuhan.
"Menakjubkan untuk melihat Marc berdiri di atas podium tertinggi memakai sut lumba dengan warna seperti pernah suami saya pakai ketika kemuncak prestasinya pada era 1980-an," kata Padovani yang juga isteri kepada Fausto.
"Dia layak untuk memperoleh kepuasan ini atas segala yang dia lakukan dan berikan kepada dua perlumbaan motosikal."
Mengulas mengenai 'boo' yang diterima pelumbanya, Padovani berkata ia memang merosakkan suasana.
"Ejekan daripada sesetengah penonton juga adalah tindakan yang turut menyakitkan kami, kami sebagai pasukan dari Emilia-Romagna," kata Padovani.
"Sudah banyak kami kami harungi termasuk kematian (Daijiro) Kato, Sic (Marco Simoncelli) dan Fausto (Gresini) dan perkara ini (ejekan) adalah perkara yang kami tidak patut dapat," katanya.