BOON Siew Honda Kemas kini Pilihan Warna Honda CB650R, CBR650R (2023), Harga Mula RM 44,499!

TERKINI

11/15/20231 min read

DUA penawaran Boon Siew Honda (BSH) dalam segmen 650 cc, Honda CB650R dan Honda CBR650R diberi kemas kini terbaharu bagi versi 2023 membabitkan skema warna dan grafik selain pilihan warna baharu di pasaran tempatan.

Dimulakan dengan harga, angka terbaharu yang diumumkan untuk model bergaya 'Fairing' penuh, Honda CBR650R (2023) adalah RM 46,499 (asas) tak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Pilihan warna yang tersedia untuk Honda CBR650R (2023) adalah:

  • Grand Prix Red

  • Mat Gunpowder Black Metallic

Manakala untuk model bergaya 'Naked' Neo Cafe Racer Honda CB650R (2023) yang turut memiliki satu pilihan warna baharu, harga yang diumumkan adalah RM 44,499 juga asas.

Pilihan warna yang tersedia untuk Honda CB650R (2023) adalah:

  • Candy Chromosphere Red

  • Mat Jeans Blue Metallic

  • Mat Gunpowder Black Metallic (Baharu)

Sebagai info, Honda CB650R dan Honda CBR560R memperoleh kemas kini terbaharu pada tahun 2021 membabitkan sistem suspensi dan brek yang turut mempertingkatkan 'kekacakan' motosikal berkenaan.

Mengulas trenkuasa, kedua-dua Honda CB650R dan CBR650R (2023) dijana enjin yang sama iaitu 649 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecari, DOHC.

Enjin yang sudah mematuhi piawaian emisi Euro5 ini dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Turut dilengkapi dengan Honda Selectable Torque Control (HSTC), kuasa yang dihamburkan adalah 93.8 Hp pada 12,000 rpm dan tork 64 Nm pada 8,500 rpm.

Di bahagian suspensi, kedua-dua model menggunakan fork jenis terbalik (USD) 41mm Showa Separate Function-Big Piston (SSF-BP) dan penyerap hentak tunggal (belakang). Sistem brek menggunakan cakera berkembar (depan) dan tunggal (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Seperti biasa, pihak Boon Siew Honda turut menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan kepada yang berminat, motosikal ini sudah pun tersedia di keempat-empat cawangan Honda Big Wing seluruh negara.